HomeUtama269 pesawah terjejas bencana kemarau terima bantuan TBTP

269 pesawah terjejas bencana kemarau terima bantuan TBTP

Read Time:2 Minute, 34 Second


Kota Belud :  Seramai 269 orang pesawah yang terjejas dengan bencana kemarau yang melanda daerah ini pada Januari hingga April lalu menerima bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) berjumlah RM286,500.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, bencana itu telah mengakibatkan kerosakan tanaman padi yang serius melibatkan kawasan sawah seluas 330.69 hektar.

Katanya, peruntukan itu merupakan inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi meringankan beban yang dihadapi pesawah ekoran musibah bencana kemarau yang dihadapi. 

“Bantuan  diberikan berdasarkan kepada tempoh usia pokok padi yang rosak akibat kemarau dengan anggaran nilai maksimum hingga RM1,800 setiap hektar dengan keluasan maksimum tiga hektar.

“Kementerian dengan kerjasama Agrobank telah pun melancarkan Skim Takaful Tanaman Padi pada bulan September yang lalu bagi memberi perlindungan kepada pesawah daripada risiko kerugian akibat bencana alam seperti banjir, kemarau, serangan penyakit, serta makhluk perosak yang sering mengancam tanaman padi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Penyerahan Tabung Bencana Tanaman Padi dan Bantuan Jentera Pesawah di IADA Kota Belud di sini hari ini.

Arthur berkata, pihak turut menyeru agar warga pesawah dapat menyertai skim takaful tersebut yang menawarkan nilai maksimum sebanyak RM3,000 setiap hektar semusim bagi menangani risiko yang dihadapi petani khususnya yant terdedah kepada ancaman bencana dengan kadar pampasan yang lebih baik.

Pada majlis itu juga, Arthur menyampaikan alat bantuan jentera merangkumi dua buah jentuai dan juga dua buah jentera pembajak bernilai RM880,000 yang akan memberi manfaat kepada seramai 200 orang petani dengan sasaran keluasan 600 Hektar. 

Bantuan jentera tersebut adalah selaras dengan hasrat KPKM untuk memastikan aspek pemodenan teknologi yang memfokus peningkatan  teknologi, automasi dan mekanisasi dalam operasi di ladang dilaksanakan bagi meningkatkan hasil dan pendapatan petani.

Daerah Kota Belud merupakan kawasan jelapang Padi bagi Negeri Sabah dengan keluasan bertanam daerah mencapai lebih 8,000 hektar dan merupakan kawasan yang terbesar bertanam padi di Negeri Sabah.

Berdasarkan Laporan Penyiasatan Pengeluaran Padi (CCS) Luar Musim lalu bagi Negeri Sabah, daerah Kota Belud telah mencatatkan purata peningkatan hasil padi daripada 3.826 Metrik Tan/Hektar kepada 5.2 Metrik Tan/Hektar iaitu peningkatan sebanyak 36 peratys. 

Manakala keluasan bertanam meningkat dari 3,418 ha kepada 3,994 ha.  Keluasan penanaman bagi keseluruhan untuk dua musim ialah seluas 8018 hektar.

Selain itu, anggaran pendapatan pesawah perhektar juga meningkat dari RM5,440 kepada RM7,260 berdasarkan harga belian padi sebanyak RM1300 satu tan metrik dan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) sebanyak RM 500 satu tan metrik.

Arthur percaya melalui peningkatan keluasan dan peningkatan hasil padi yang ditanam di dalam negeri ini sekaligus mampu mengurangkan kebergantungan kepada beras import. 

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada IADA Kota Belud dan semua agensi persekutuan serta negeri yang terlibat di atas komitmen yang jitu dan semoga usaha ini dapat diteruskan bagi memastikan sasaran SSR negara tercapai.

Mengulas berkenaan status terkini Pembinaan Kompeks IADA Kota Belud, Arthur berkata tender tersebut telah di tutup pada awal November yang lalu seterusnya akan melalui peringkat penilaian tender dan jangkaan Surat Setuju Terima (SST) akan dapat diserahkan selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Saya serahkan kepada pihak berwajib – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular