Kota Kinabalu : Sabah dijangka akan dapat mencapai sasaran ketibaan seramai tiga juta pelancong ke negeri ini apabila AirAsia melaksanakan penerbangan tambahan baharu terus dari Shantou dan Kaohsiung ke Kota Kinabalu.
Penerbangan sulung masing-masing dari Shantou dan Kaohsiung ke Kota Kinabalu pada Sabtu dan Ahad lalu itu disambut dengan ‘water salute’ yang menandakan pendaratan sulung mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Shantou menjadi bandar kesembilan di China yang menyediakan penerbangan langsung ke Kota Kinabalu bersama Shanghai, Guangzhou, Hong Kong, Shenzhen, Hangzhou, Wuhan, Beijing, dan Kunming.
Laluan baharu ini akan beroperasi tiga kali seminggu, menjadikan jumlah penerbangan langsung mingguan dari China ke Kota Kinabalu sebanyak 55 penerbangan.
Permulaan penerbangan langsung Kaohsiung ke Kota Kinabalu akan menjadikan Kaohsiung sebagai bandar kedua di Taiwan yang disambungkan terus ke Sabah selepas Taipei, yang juga dioperasikan oleh AirAsia.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew berkata, pihaknya mengalu-alukan kedua-dua penerbangan ke Sabah dan mengucapkan terima kasih kepada AirAsia atas kerjasama berterusan mereka dalam menjadikan Sabah lebih mudah diakses oleh pelancong antarabangsa.
Katanya, laluan Shantou sejajar dengan usaha Sabah untuk mempelbagaikan dan mengembangkan pasaran pelancongan ke bandar-bandar kelas dua dan tiga di China.
“Pelancaran penerbangan Shantou berpotensi menarik lebih ramai pelancong dari bandar-bandar berhampiran seperti Chaozhou, Huizhou, Meizhou, Xiamen, Shanwei, dan Quanzhou, yang mempunyai jumlah penduduk lebih 31.4 juta di selatan China,” katanya.
Mengenai penerbangan langsung Kaohsiung-Kota Kinabalu, Christina berkata ia menghubungkan lebih ramai pelancong dari Taiwan Selatan ke Sabah.
“Ini membuka peluang untuk menarik pelancong dari bandar-bandar berdekatan seperti Tainan, Pingtung, dan Yunlin,” katanya.
Pada bulan Julai, Sabah mengumumkan kerjasama strategik selama lima tahun dengan AirAsia untuk memajukan industri pelancongan negeri.
Kerjasama ini akan melibatkan kerjasama yang lebih erat antara syarikat penerbangan dan Sabah Tourism, dengan matlamat untuk menjadikan KKIA sebagai hab penerbangan serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Julinus Jeffery Jimit berkata, kekayaan alam semula jadi dan kepelbagaian budaya Sabah menawarkan pelbagai pengalaman pelancongan.
“Meningkatkan aksesibiliti ke Sabah menyokong matlamat kami untuk menjadikan pelancongan sebagai pemacu utama kejayaan dalam pelan Sabah Maju Jaya.
“Pada masa yang sama, ini sejajar dengan usaha kami untuk bersiap sedia menuju Tahun Melawat Malaysia, yang akan berlangsung pada tahun 2026,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO STB