Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan dan Sabah sepakat memperkenalkan inisiatif ‘Tiket Rahmah’ bagi penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Katanya, tiket rahmah itu boleh ditawarkan bagi laluan domestik serendah yang mungkin mengikut kemampuan rakyat marhaen.
Beliau turut menegaskan agar Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menguatkuasakan Akta Kawalan Harga Antipencatutan (AKHAP) 2011 untuk mengambil tindakan tegas kepada syarikat-syarikat penerbangan tempatan yang sesuka hati menaikkan harga tiket penerbangan domestik semata-mata hendak mengaut keuntungan berlebihan tanpa mengambil kira kos sara hidup rakyat.
“Kita juga mensyorkan kepada KPDN dan Kementerian Pengangkutan Malaysia supaya sepakat menetapkan harga lantai tiket penerbangan domestik terutama kepada waktu puncak melibatkan musim cuti persekolahan, hari perayaan seperti Hari Raya, Krismas, Tahun Baru Cina dan Deepavali.
“Demikian juga kepada hari perayan Pesta Kaamatan di Sabah dan Hari Gawai di Sarawak. Jika kerajaan hanya mengambil sikap tengok dan lihat sahaja terhadap isu kenaikan mendadak harga tiket penerbangan ini tanpa mengambil langkah agresif, ia bukan sahaja menjelaskan Integrasi Nasional, tetapi juga turut memberi kesan terhadap industri pelancongan domestik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Bajet Sabah 2025 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Masiung berkata, warga tempatan akan kehilangan minat melancong di dalam negara sendiri dan akan beralih untuk bercuti ke negara jiran dengan tambang lebih murah dan ini sudah tentu wang kita lebih banyak mengalir ke luar negara.
“Satu-satunya cara terbaik ialah kerajaan pada hari ini perlu mewujudkan inisiatif ‘Tiket Rahmah’ bagi membantu meringankan beban penduduk tempatan.
“Isu kenaikan harga tiket penerbangan ini tidak boleh dipandang ringan, kerana perkhidmatan penerbangan domestik sejak kebelakangan ini kerap kali berlaku jadual penerbangan tertangguh.
“Ada kalanya berlaku sehingga empat jam lamanya. Oleh yang demikian, kita berharap Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam dapat mengatasi masalah yang menyusahkan penumpang ini,” katanya. – SABAH MEDIA