KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada rakyat Sabah yang tercicir dalam Program Menoktahkan Kemiskinan Tegar Negeri Sabah.
Menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, beliau memaklumkan bahawa langkah proaktif telah diambil untuk melibatkan semua pihak, termasuk wakil-wakil rakyat dari parti bukan Kerajaan.
“Saya telah mengarahkan Sekretariat Sabah Maju Jaya untuk mengadakan sesi libat urus bersama ADUN bukan Kerajaan pada 28 November ini. Sesi ini bertujuan untuk memurnikan senarai Ketua Isi Rumah (KIR) atau Ahli Isi Rumah (AIR) yang telah dikenal pasti dan layak di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan bagi Jabatan Ketua Menteri di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.
Hajiji berkata, tujuan sesi libat urus ini bertujuan untuk memastikan ketelusan dan keadilan dalam mengenal pasti golongan yang benar-benar memerlukan intervensi bantuan daripada program tersebut.
“Dengan penyelarasan dan input daripada semua pihak, program ini diharap dapat memberi manfaat kepada kumpulan sasar dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha menoktahkan kemiskinan tegar adalah keutamaan Kerajaan Negeri di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Program ini merupakan langkah strategik untuk membasmi kemiskinan secara menyeluruh, selari dengan aspirasi rakyat Sabah.
“Komitmen berterusan Kerajaan Negeri berharap dengan kerjasama semua pihak, termasuk ADUN daripada parti bukan kerajaan, usaha ini dapat dijayakan dengan lebih cepat dan berkesan, sekaligus memastikan tiada golongan rentan yang ketinggalan daripada menerima bantuan yang sewajarnya,” katanya.