HomeUtamaKerajaan tingkatkan kadar gaji pekerja sambilan harian, sokong pelantikan anak tempatan dalam...

Kerajaan tingkatkan kadar gaji pekerja sambilan harian, sokong pelantikan anak tempatan dalam perkhidmatan awam

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini mengumumkan beberapa langkah strategik bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam di Sabah, termasuk kajian semula kadar gaji dan usaha memperjuangkan pelantikan anak-anak tempatan Sabah ke dalam perkhidmatan awam.

Beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri telah menaikkan kadar upah bagi Pekerja Sambilan Harian (PSH) di sektor perkhidmatan awam negeri berkuat kuasa 1 Disember 2024.

“Kadar baru upah PSH berdasarkan kelayakan akademik adalah seperti berikut PMR: Dinaikkan daripada RM44.00 sehari kepada RM75.00 sehari atau RM1,725.00 sebulan.
SPM: Dinaikkan daripada RM54.00 sehari kepada RM80.00 sehari atau RM1,840.00 sebulan.
STPM/Diploma: Dinaikkan daripada RM72.00 sehari kepada RM85.00 sehari atau RM1,955.00 sebulan.
Ijazah: Dinaikkan daripada RM100.00 sehari kepada RM105.00 sehari atau RM2,415.00 sebulan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan bagi Jabatan Ketua Menteri di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Menurut Hajiji, langkah ini diambil sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kesejahteraan penjawat awam dan memastikan penghargaan yang sewajarnya diberikan kepada mereka.

Beliau turut memaklumkan bahawa gaji minimum bagi sektor swasta telah dinaikkan kepada RM1,700.00, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada Oktober lalu.

“Kenaikan ini akan dilaksanakan bermula Februari 2025, dan Kerajaan Negeri akan memaklumkan kepada pihak swasta selepas perintah rasmi dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Menjawab isu yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Bugaya mengenai pelantikan anak Sabah ke dalam perkhidmatan awam, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa memperjuangkan hak anak-anak Sabah.

“Kerajaan Negeri berusaha memastikan peluang pelantikan ke dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan, termasuk jawatan kehakiman, diberikan keutamaan kepada anak-anak Sabah,” jelas beliau.

Dalam konteks Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah (JKSNS), Datuk Seri Hajiji memaklumkan bahawa walaupun jabatan ini berada di bawah seliaan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), usaha-usaha penyelarasan dan rundingan telah dijalankan untuk memastikan keutamaan pengisian jawatan diberikan kepada pegawai tempatan Sabah.

Beliau menekankan bahawa langkah-langkah ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasakan perkhidmatan awam, memastikan keadilan sosial, dan memajukan rakyat Sabah secara keseluruhan.

RELATED ARTICLES
Utama

Masidi Jelaskan Kompleksiti Pengurusan Peruntukan Pusat ke Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular