KUALA LUMPUR: Google, memuji pendekatan Malaysia yang membina infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan gergasi teknologi global itu membuat pelaburan sebanyak AS$2 bilion di negara ini.
Naib Presiden Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam Google, Karan Bhatia dalam Sidang Kemuncak APEC di Peru baru-baru ini berkata, pelaburan AS$2 bilion bagi membina pusat data itu dilihat seiring dengan usaha Malaysia untuk membangunkan infrastruktur terbabit.
Terdahulu, pada Mei lalu, Google mengumumkan pelaburan AS$2 bilion (RM9.4 bilion) di Malaysia, bagi membangunkan pusat data pertamanya di negara ini dan rantau Google Cloud untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat perkhidmatan awan di negara ini dan di seluruh dunia, serta program literasi AI untuk pelajar dan pendidik.
Pelaburan Google itu dijangka menjana impak ekonomi bernilai lebih US$3.2 bilion dan 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030.
Sementara itu, Naib Presiden Data dan AI Microsoft, Zia Mansoor memuji usaha Malaysia mewujudkan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara yang komprehensif dan mengutamakan infrastruktur AI.
Pelan itu turut menyentuh kepada aspek kemahiran dan ini cara Malaysia memahirkan rakyat dengan teknologi AI, katanya dalam sidang kemuncak yang sama.
Beliau berkata, pelan hala tuju itu turut mewujudkan pusat kecemerlangan AI dalam kerajaan dan syarat ini penting apabila kerajaan turut menggunakan teknologi AI.
Pada 15 November lalu, Anwar mengadakan perbincangan dengan Google di ibu negara Peru, menumpukan kepada pusat data dan AI.
Beliau berkata, perhatian sewajarnya perlu diberikan kepada pengukuhan ekosistem AI dan pusat data, terutamanya dari segi peraturan yang berkaitan untuk mencegah kebocoran dan eksploitasi data serta berniat buruk.
Anwar juga berkata, Malaysia bersedia untuk menyelaraskan dasarnya agar seiring dengan permintaan baharu dan industri yang sentiasa berkembang dalam pendekatan pelbagai serampang untuk terus menarik pelaburan bernilai tinggi.
-BERNAMA