HomeUtamaKOPEKS diminta rancang, pelbagaikan perniagaan koperasi

KOPEKS diminta rancang, pelbagaikan perniagaan koperasi

Read Time:2 Minute, 26 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan negeri mahu Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) mahu terus merancang beberapa perniagaan baharu atau mempelbagaikan lagi perniagaan koperasi khususnya dalam era mencabar masa kini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jaringan kerjasama dengan agensi perniagaan lain juga perlu dijalin dengan baik serta mengekalkan tahap tadbir urus yang baik dan amanah dalam koperasi. 

“Saya dimaklumkan bahawa KOPEKS pada tahun lalu telah menyediakan pelan strategi perniagaan bagi 2024-2026, yang meliputi bidang perniagaan, pelaburan dan pembangunan perniagaan baharu.

“Ini termasuk usaha KOPEKS membangunkan dua bidang  tanah yang sedia ada masing-masing di Menggatal dan Lahad Datu untuk perumahan yang boleh dibeli oleh ahli dan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-47 KOPEKS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Hajiji berkata, usaha itu amat baik dan beliau yakin projek itu turut seiring dengan matlamat Pelan Pembangunan Negeri Sabah iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau turut yakin kepimpinan KOPEKS hari ini mampu memenuhi keperluan ahli dan memperkukuh reputasi koperasi.

“Pengurusan yang cekap, komited dan berintegriti dalam setiap aspek akan meningkatkan kestabilan kewangan dan memberi manfaat berterusan kepada ahli dan komuniti. 

“KOPEKS yang kini sudah mencapai usia 61 tahun dan sebagai koperasi tertua di negeri ini perlu terus kekal relevan dan menjadi pilihan kepada penjawat awam,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, KOPEKS pernah mencapai sehingga 20,000 ahli pada era akhir 70-an dan 80-an. 

“Saya masih ingat pada ketika itu, KOPEKS turut menyediakan kemudahan pembiayaan kredit dan berbagai kemudahan lain kepada ahlinya. Ini merupakan sejarah besar KOPEKS.

“Walaupun bilangan ahli yang aktif ketika ini seramai 5,898 orang, saya percaya ini akan menjadi sumber kekuatan kepada KOPEKS. Jika ahli bersatu dan memberi sokongan kepada pengurusan serta kepimpinan koperasi, saya yakin KOPEKS akan mengekalkan kejayaan dan kecemerlangannya,” katanya.

Beliau melahirkan rasa gembira kerana hampir 90 peratus ahli telah menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan oleh KOPEKS, khususnya bagi tujuan menampung pengajian anak ahli yang melanjutkan pelajaran, menampung kos perubatan dan membaikpulih rumah khusus bagi ahli yang akan bersara.

“Selain itu, program lain yang turut disediakan seperti pembiayaan kredit, pembiayaan menunaikan umrah, program pelancongan anggota, tabung Khairat bagi ahli yang meninggal dunia, insentif pendidikan, sumbangan kepada asnaf dan anak yatim,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Bapa cabul anak tiri berusia 6 tahun, dihukum penjara 10 tahun,...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular