Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memantau harga barangan yang dijangka meningkat pada tahun depan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, perbincangan akan dilakukan terlebih dahulu dengan semua syarikat pengeluar barangan di negeri ini berkenaan isu itu.
“Kita mahu mengawal harga barangan mereka dan pemantauan bersama KPDN akan dilakukan. Bagaimanapun perbincangan dengan semua syarikat pengeluar produk akan diadakan supaya mereka tidak naikkan harga barangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sabah Trusted Brand Award (STBA), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden Kebangsaan 1 Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Abdul Malik Jamaran dan Naib Presiden Kebangsaan 1 MTPN merangkap Yang Dipertua MTPN Sabah, Kevin Lo.
Berkenaan dengan majlis itu, James berbesar hati MTPN telah memberikan anugerah pengiktirafan kepada 36 syarikat tempatan atas pencapaian yang memberangsangkan.
Katanya, pada tahun lalu untuk anugerah yang sama, sebanyak 41 syarikat tempatan juga diiktiraf.
“Kesemua syarikat yang diiktiraf ini telah diaudit oleh MTPN dan selamat kepada para pengguna,” katanya.
Terdahulu ketika berucap, James berkata, anugerah STBA ini amat unik kerana ia terbuka kepada semua, tanpa mengira kaum, bidang, atau bentuk perniagaan.
Katanya, ia adalah bukti bahawa Sabah adalah negeri yang meraikan kepelbagaian dan kemajuan secara inklusif.
“Namun, apa yang menjadikan pengiktirafan ini lebih istimewa ialah proses ketat yang dilalui oleh setiap syarikat untuk melepasi audit yang telah ditetapkan.
“Ini memastikan hanya jenama yang benar-benar cemerlang diberi penghormatan yang tinggi,” katanya. – SABAH MEDIA