HomeUtamaLima penerima Rumah Mesra SMJ sambut Krismas di rumah baharu

Lima penerima Rumah Mesra SMJ sambut Krismas di rumah baharu

Read Time:1 Minute, 44 Second

Membakut: Lima keluarga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut bakal meraikan sambutan Krismas tahun ini di rumah baharu selepas Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang disediakan Kerajaan negeri siap baru-baru ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, rumah hasil cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor itu juga membolehkan penerima meraikan sambutan Krismas dengan selesa di rumah baharu.

“Hari ini (semalam) saya bersama pimpinan di kawasan Membakut berziarah dan menyampaikan kunci rumah SMJ kepada lima penerima yang layak dan semua mereka senang hati.

“Ini kerana dengan rumah ini mereka semua dapat menyambut Krismas dirumah baharu  dan mudah-mudahan tahun baru akan datang mereka akan dapat melaksanakan kegiatan-kegiatan kehidupan mereka termasuk untuk memudahkan anak-anak mereka menjalani pelajaran di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan kunci rumah mesra SMJ kepada lima penerima di sini semalam.

Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, rumah yang dicetuskan Ketua Menteri itu juga adalah sebagai kesejahteraan rakyat yang menjadi salah satu daripada agenda halatuju SMJ, modal insan dan kesejahteraan rakyat.

“Setiap tahun kita menyediakan 20 buah rumah tapi tahun hadapan 40 buah rumah telah diluluskan oleh Ketua Menteri untuk setiap DUN dan mudah-mudahan akan ramai lagi yang dapat nikmat daripada rumah SMJ ini.

“InsyaAllah di pihak DUN Membakut kita sudah kenal pasti bersama-sama dengan pihak berkaitan yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah sendiri,  mereka yang disenaraikan untuk mendapat rumah SMJ menjelang 2025.

“Tidak lama lagi dan kita sudah senaraikan dan kita akan pilih mereka yang layak untuk menerima 40 buah rumah SMJ. Tetapi ada beberapa buah rumah SMJ ini kita berikan kepada mereka yang terlibat dalam kebakaran. Ini kita akan berikan keutamaan,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri atas ilham yang luar biasa yang digagaskan untuk mewujudkan rumah mesra SMJ.

“Sekurang-kurangnya ini dapat membela rakyat, membantu rakyat, mengurangkan bebanan rakyat dan yang sangat penting memberikan keselesaan kepada rakyat khususnya anak-anak pelajar yang akan mengulangkaji pengajian mereka di rumah masing-masing,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pantau projek pemasangan menara telekomunikasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular