Kota Kinabalu : Sabah FC mungkin terpaksa melupakan khidmat enam tonggak utamanya selepas masih mengalami kecederaan apabila bertemu Kuching City FC, di Stadium Negeri, Kuching malam esok.
Jurulatih Interimnya, Alto Linus berkata, beliau mengakui persiapan Sabah FC sedikit terjejas namun ini sudah tentu memberi peluang kepada pemain-pemain lain memikul tugasan penting ini.
Katanya, antara mereka yang berada dalam senarai kecederaan termasuklah Gabriel Peres, Saddil Ramdani, Cifu, Farhan Roslan, Kwan Ming Ko dan Darren Lok.
“Mereka mengalami kecederaan ini selepas perlawanan menentang PT Athletic FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras dalam perlawanan kedua Pusingan 16, Piala Malaysia tempoh hari.
“Ini bukan masalah besar kerana saya percaya ia akan memberi peluang kepada pemain-pemain lain untuk memikul tugasan ini. Saya percaya mereka mampu melakukannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Alto berkata, beliau mengakui berhadapan dengan Kuching City FC yang kini berada ditangga ke lima saingan Liga Super sedikit memberikan tekanan kepada mereka.
“Sudah semestinya setiap pasukan berada pada kedudukan terbaik liga akan mempunyai tekanan untuk mengekalkan konsistensi pada setiap perlawanan.
“Ini adalah normal kerana dalam setiap pertandingan liga, apabila kita berada ditempat yang baik sudah pasti pasukan lain akan turun dengan perancangan terbaik untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik,” katanya.
Menurutnya, Sabah FC juga mempunyai perancangan tersendiri untuk menghadapi perlawanan ini manakala objektif besar adalah untuk memperoleh keputusan yang positif.
“Kita mengakui Kuching City FC merupakan antara pasukan terbaik dalam Liga Super namun kita akan kekal positif dan yakin mampu melakukan apa sahaja pada ketika ini, lebih-lebih lagi bermain di tempat sendiri.
“Kita juga akan bertemu Kuching dalam suku akhir Piala Malaysia…Buat masa ini kita tidak terlalu memikirkan tentang Piala Malaysia namun akan kekal fokus dan
amalkan pendekatan daripada satu pelawanan kepada satu perlawanan lain” katanya.
Berdasarkan rekod perlawanan, Sabah FC memiliki kelebihan empat kemenangan dengan satu perlawanan siri ketika bertemu Kuching City FC.
Sabah FC kini berada di tangga ketiga Liga Super dengan memperoleh 26 mata berbanding Kuching City FC di tangga kelima dengan 18 mata. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC