KOTA KINABALU: Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Daerah Tuaran 2024-2035 memfokuskan sektor pelancongan, pertanian dan perikanan di daerah itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, daerah Tuaran memiliki potensi besar dari segi keindahan semula jadi, budaya tempatan, dan hasil pertanian yang pelbagai.
“Pelan ini memastikan semua pihak berkepentingan iaitu daripada pengusaha kecil hingga pelabur besar, dapat bersama-sama memanfaatkan peluang yang ada.
“Pelan ini juga menekankan amalan lestari yang akan memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat. Di kawasan seperti Tuaran, kekayaan alam adalah aset utama. Kita tidak boleh membiarkan pembangunan berlaku dengan mengorbankan warisan ini,” katanya semasa Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Daerah Tuaran 2024-2035; Rangka Tindakan Transformasi Sulaman; Pelan Pemberdayaan Komuniti Nelayan Kampung Penimbawan dan Aplikasi serta Buku ReTrack di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa.
Hajiji berkata, keempat-empat inisiatitf itu akan membawa satu perubahan yang besar kepada daerah Tuaran, khususnya dalam aspek pembangunan daerah dan pembangunan ekonomi termasuk komuniti nelayan.
Beliau mengambil contoh, Rangka Tindakan Transformasi Sulaman adalah bukti bagaimana penglibatan komuniti menjadi teras kepada perancangan pembangunan.
Katanya, projek itu dirangka dengan mengambil kira suara rakyat. Usaha untuk membangunkan industri sulaman tempatan tidak hanya memberi pendapatan kepada pengusaha kecil, tetapi juga memperkukuhkan identiti budaya Sabah yang kaya dengan seni dan tradisi.
Menurutnya, Pelan Pemberdayaan Komuniti Nelayan Kampung Penimbawan pula bukan saja menyediakan sokongan teknologi kepada mereka, juga membuka peluang untuk diversifikasi dan pelbagaikan pendapatan melalui sektor-sektor lain seperti pelancongan dan pemprosesan hasil laut.
“Inisiatif ini dirangka kerana kita tahu bahawa komuniti nelayan yang sering menjadi mangsa perubahan ekonomi global, seperti ketidakstabilan harga dan perubahan iklim.
“Inisiatif seperti Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Daerah Tuaran dan Rangka Tindakan Transformasi Sulaman menyasarkan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar, yang selaras dengan matlamat ini”, katanya.
Beliau menyeru dan mengingatkan semua pihak yang terlibat agar berganding bahu merealisasikan semua usaha dan strategi yang telah dirangka.
“Gunakan pengalaman, pengetahuan dan keupayaan dalam mencapai apa juga yang telah dirancang. Pelancaran hari ini hanyalah permulaan. Kita masih mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan untuk memastikan inisiatif-inisiatif ini mencapai matlamatnya”, ujarnya.
Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) Datuk Seri Azizah Mohd Dun, Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah; Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly, Pengarah Penjara Negeri Sabah & WP Labuan; Timbalan Komisioner Penjara (TKP) Nora Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Dr. Ramzah Dambul.