HomePendapatKeciciran Pelajar: Halangan Besar dalam Agenda Negara Maju

Keciciran Pelajar: Halangan Besar dalam Agenda Negara Maju

Read Time:4 Minute, 28 Second

Beberapa hari lepas, semasa Persidangan Dewan Rakyat, Menteri Pendidikan Malaysia telah memaklumkan bahawa cadangan pelaksanaan dasar pendidikan menengah wajib telah mendapat kelulusan awal daripada Jemaah Menteri Malaysia.

Menurut beliau, deraf Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan telah di sediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dan kini sedang di semak oleh Pejabat Peguam Negara. RUU berkenaan di jangka akan di bentangkan di Parlimen pada tahun 2025.

Cadangan pelaksanaan dasar pendidikan menengah wajib berkenaan merupakan tambahan kepada dasar pendidikan rendah wajib ketika ini. Apabila di laksanakan kelak, setiap pelajar wajib mengikuti keseluruhan pendidikan rendah dan menengah, selama 11 tahun.

Fakta menarik: Sejak 1 Januari 2003, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mula melaksanakan dasar pendidikan rendah wajib, di mana setiap ibu-bapa warganegara yang menetap di Malaysia mesti memastikan anak-anak mendaftar serta mengikuti pembelajaran di sekolah rendah sepanjang tempoh masa pendidikan rendah selama 6 tahun.

Di bawah undang-undang pendidikan rendah wajib, ibu-bapa yang gagal boleh di kenakan hukuman denda tidak melebihi RM 5,000 atau di penjarakan tidak melebihi 6 bulan, atau kedua-duanya sekali. Menurut laporan media, deraf RUU pendidikan wajib berkenaan, yang melibatkan keseluruhan pendidikan rendah dan menengah, akan turut mengenakan hukuman yang sama.

Sejak dasar pendidikan rendah wajib di laksanakan, tiada laporan ataupun data tersedia samada ada ibu-bapa pernah di dakwa mahupun di hukum.

Salah satu sebab utama mendorong Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan dasar pendidikan wajib adalah bagi menangani isu keciciran/ drop-out pelajar dari sistem pendidikan negara.

Keciciran pelajar dari alam persekolahan akan menyebabkan mereka tidak dapat menyerlahkan potensi diri dan mencapai tahap pendidikan yang mencukupi. Akibatnya, ini boleh menjejaskan kesejahteraan masa depan dan kualiti hidup mereka.

Di kemudian hari, tanpa tahap pendidikan yang mencukupi, mereka sukar untuk memperolehi pendapatan besar yang dapat menampung kos sara hidup.

Secara am-nya, keciciran pelajar boleh berlaku sepanjang tempoh masa 11 tahun pendidikan rendah dan menengah, terutamanya:

peralihan dari pendidikan rendah (Tahun 6) ke pendidikan menengah (Tingkatan 1)

peralihan dari peringkat menengah rendah (Tingkatan 3) ke menengah tinggi (Tingkatan 4)

Menurut laporan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), antara punca utama keciciran pelajar adalah: kurang minat untuk belajar, kemiskinan, masalah keluarga, kurang kesedaran ibu-bapa terhadap kepentingan pendidikan, masalah disiplin dan gejala sosial.

Pada bulan Mac 2024, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia telah memaklumkan bahawa kadar keciciran pelajar negara telah menunjukkan trend menurun sepanjang tempoh masa 7 tahun (2017 – 2023). Data KPM menunjukkan kadar keciciran pelajar di peringkat pendidikan menengah adalah jauh lebih tinggi dari pendidikan rendah.

Peringkat20172023
Pendidikan Rendah0.29 %0.06 %
Pendidikan Menengah1.36 %0.83 %

Beliau turut memaklumkan bahawa kadar keciciran pelajar di sekolah bandar dan luar bandar ada perbezaan.

PeringkatBandarLuar Bandar
Pendidikan Rendah0.37 %0.10 %
Pendidikan Menengah3.13 %4.67 %

Walaupun dari segi peratusan kadar keciciran pelajar adalah kecil, tetapi ianya melibatkan jumlah pelajar tercicir yang besar memandangkan jumlah pelajar di seluruh negara yang mencecah jutaan orang.

Sebagai contoh. Berdasarkan data laman sesawang Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pada tahun 2020, terdapat seramai 2.037 juta pelajar sekolah menengah di seluruh negara.

Maka, dengan mengguna-pakai kadar keciciran pelajar sekolah menengah (0.83%), anggaran jumlah pelajar yang tercicir adalah hampir 17,000 orang.

Sumber: Laman Sesawang Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

Pada bulan Disember 2021, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia memaklumkan jumlah pelajar tercicir pada tahun 2018 adalah 34,074 orang. Manakala, sepanjang Mac 2020 hingga Julai 2021 adalah 21,316 orang.

Tahun2018Mac – Disember 2020Januari – Julai 2021
Jumlah Pelajar Tercicir34,07411,30110,015

Selain itu, keciciran pelajar juga berlaku di peringkat Tingkatan 5 apabila ada pelajar yang tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Data KPM menunjukkan lebih 10,000 pelajar tidak menduduki peperiksaan SPM setiap tahun.

SPMJumlah Calon Berdaftar SPMJumlah Calon Tidak Menduduki SPMPeratusan Calon Tidak Menduduki SPM
2023383,685 orang10,160 orang2.6 %
2022388,832 orang14,858 orang3.8 %
2021392,837 orang10,681 orang2.7 %

Isu keciciran pelajar menjadi bertambah kritikal apabila mengambil-kira pelajar lepasan SPM yang tidak melanjutkan pendidikan tinggi. Data KPM menunjukkan peratusan pelajar lepasan SPM yang tidak melanjutkan pendidikan tinggi adalah sangat besar, melibatkan ratusan ribu pelajar.

SPMJumlah Calon Tidak Melanjutkan Pendidikan TinggiPeratusan Calon Tidak Melanjutkan Pendidikan Tinggi
2021180,680 orang48.74 %
2020115,939 orang35.16 %

Akhirnya, isu keciciran pelajar telah menghasilkan ramai pekerja yang tidak berpendidikan tinggi. Menurut data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), majoriti (65.4%: 10.94 juta orang) pekerja di Malaysia hanya memiliki pendidikan menengah dan rendah sahaja.

Manakala 2.8% (0.47 juta orang) pekerja pula tidak memiliki pendidikan formal.

Tambahan lagi, isu keciciran pelajar turut menyumbang kepada kadar pengangguran belia yang tinggi, hampir 2 kali ganda melebihi keseluruhan kadar pengangguran negara.

Situasi ini berlaku tatkala negara merekodkan kadar pengangguran yang rendah dan mendatar sekitar 4%, yang di terima sebagai guna tenaga penuh/ full employment.

Dengan hanya berbekal pendidikan rendah dan menengah sahaja, sudah pasti ramai golongan muda sukar mendapatkan pekerjaan. Lebih-lebih lagi ketika negara memberi fokus kepada pelaburan serta aktiviti ekonomi nilai-tambah tinggi, yang memerlukan tahap pendidikan dan kemahiran yang tinggi.

Justeru itu, isu keciciran pelajar sewajarnya di teliti secara lebih menyeluruh, dan tidak terhad hanya kepada keciciran di peringkat pendidikan rendah dan menengah sahaja. Ianya wajar juga merangkumi jumlah pelajar yang tidak menduduki peperiksaan SPM dan pelajar lepasan SPM yang tidak melanjutkan pendidikan tinggi.

Penelitian secara menyeluruh akan dapat memberi gambaran yang lebih tepat mengenai agenda pembangunan modal insan negara. Jumlah keciciran yang besar di semua peringkat sudah pasti akan merencatkan agenda pembangunan negara untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular