Kota Kinabalu : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca signifikan luruan monsun dijangka berlaku bermula 8 hingga 14 Disember ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur dan utara Semenanjung serta Sarawak dan Sabah dalam tempoh berkenaan.
“Pada masa yang sama, angin kencang dan laut bergelora juga dijangka berlaku di Laut China Selatan. Amaran Hujan Berterusan (Waspada) yang melibatkan timur dan utara Semenanjung berkuat kuasa pada 8 hingga 11 Disember 2024.
“Manakala, Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa pada 8 hingga 12 Disember 2024,” menurut kenyataan itu di sini.
Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. – SABAH MEDIA