Kota Kinabalu: Sasaran untuk mencapai tiga juta ketibaan pelawat ke negeri ini diyakini mampu dicapai apabila 2.42 juta ketibaan pelawat domestik dan antarabangsa telah direkodkan sehingga suku ketiga tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata,ia adalah pencapaian yang membanggakan dan mencerminkan usaha semua pihak untuk memastikan sektor pelancongan kita terus berkembang maju.
Katanya, beliau turut yakin menjelang akhir tahun, sasaran tiga juta ketibaan pelawat dapat dicapai.
“Berpandukan kejayaan ini, kita akan terus mempertingkatkan infrastruktur pelancongan dengan memberi fokus kepada pelancongan bernilai tinggi dan lestari yang menonjolkan kekayaan alam semula jadi dan budaya Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Malam Penghargaan Pelancongan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini malam tadi.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew.
Hajiji berkata, lebih banyak boleh dilakukan untuk menarik pelawat ke Sabah dan tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian atau produk dan perkhidmatan yang sedia ada.
“Untuk terus bersaing dan kekal relevan, kita mesti proaktif dalam memperkenalkan produk baharu dan meningkatkan perkhidmatan bagi memenuhi kehendak pelawat, sama ada yang baru pertama kali datang atau yang kembali semula.
“Saya gembira melihat banyak usaha telah dilakukan oleh pasukan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) untuk mempromosikan Sabah dengan bekerjasama bersama industri dalam inisiatif menang-menang.
“Saya berharap dapat melihat lebih banyak kerjasama inklusif, khususnya melalui usaha sama yang berkesan antara Pelancongan Sabah dan pemain industri, sama ada di peringkat dalaman atau luaran, untuk mencari jalan ke hadapan bagi memajukan industri pelancongan serta memastikan sektor ini terus menjadi pemacu utama ekonomi Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji turut berbangga dengan pertumbuhan positif dalam pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) yang telah memberi manfaat dan memperkasa komuniti tempatan di seluruh Sabah.
Katanya, dengan hanya lima produk ketika projek perintis CoBT dimulakan pada 2014, inisiatif itu kini mempunyai 107 pemilik dan pengendali CoBT berdaftar.
“Pertumbuhan ini telah diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat kita. Saya berharap CoBT terus dibangunkan secara agresif kerana potensinya yang besar untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, terutama di kawasan luar bandar Sabah,” katanya.
Menurutnya lagi, sebagai salah satu kekuatan utama Sabah, pelancongan kekal sebagai antara tiga penyumbang ekonomi terbesar negeri, yang bukan sahaja menjana pendapatan besar tetapi juga mencipta pelbagai peluang ekonomi untuk rakyat.
“Adalah penting untuk menyedari bahawa pelancongan bertindak sebagai pemangkin kepada penciptaan peluang pekerjaan untuk komuniti tempatan kita.
“Ia menyediakan sumber pendapatan melalui pelbagai industri termasuk hospitaliti, penqgangkutan, pemanduan pelancong, dan pelancongan berasaskan komuniti.
“Ia membolehkan rakyat kita mempamerkan keindahan Sabah dan budaya uniknya, memastikan manfaat pelancongan dirasai secara meluas di setiap pelosok negeri kita,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak bahawa peranan pelancongan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Dengan memacu pertumbuhan ekonomi, mengurangkan ketidaksamaan, menggalakkan amalan lestari, dan meraikan warisan budaya serta alam semula jadi kita, sektor pelancongan berfungsi sebagai jambatan antara pembangunan dan kelestarian.
“Bersama-sama, kita membina masa depan yang memberi manfaat kepada komuniti kita dan juga alam sekitar,” katanya. – SABAH MEDIA