KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM90,000 untuk membaik pulih Dewan Tadika Chung Hwa Penampang.
Menterinya Datuk Seri Christina Liew mengumumkan demikian semasa kunjungan hormat delegasi tadika yang diketuai Pengerusi Lembaga Pengelola Fong Tet Yee pada Selasa.
“Kami telah meluluskan permohonan untuk mendapatkan dana membaik pulih Dewan Tadika Chung Hwa Penampang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semasa memberi taklimat kepada Christina mengenai keadaan dewan tadika, Fong berkata kemudahan dan peralatan di dalam dewan itu juga sudah rosak dan lusuh.
“Institusi prasekolah ini telah beroperasi sejak 24 tahun lepas di bawah naungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kota Kinabalu. Kami berharap kerja-kerja pembaikan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan demi keselamatan dan keselesaan murid-murid,” katanya.
Fong turut merakamkan penghargaan Lembaga Gabenor kepada Christina atas pertimbangan dan kelulusan daripada kementerian berkenaan.
Sementara itu, Fong menyampaikan jemputan kepada Christina untuk menyerikan sambutan Tahun Baru Cina Tadika Chung Hwa Penampang 2025 pada 11 Januari (Sabtu) di Dewan Hakka Sabah pada jam 10 pagi.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Josie Lai, Pengetua Lee Chee Len, Penyelia Tadika Wong Shou Yung, dan Pengerusi Pengelola Bazar Tadika Christopher Yong.