Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) menyokong pencalonan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sebagai Presiden FAM bagi penggal akan datang.
Perkara itu dinyatakan Presiden SAFA Datuk Ir Shahelmey Yahya selepas menghadiri Kongres Tahunan ke-12 2024 di sini pagi tadi.
“Pada ucapan penangguhan saya tadi, saya telah menyentuh tentang pencalonan bagi Presiden FAM daripada Sabah.
“Kita menyokong dan mencalonkan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub untuk bertanding jawatan Presiden pada tahun hadapan,” katanya.
Mohd Joehari antara nama yang disebut bakal bertanding jawatan Presiden FAM untuk menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang dijangka tidak akan mempertahankan jawatannya pada Kongres FAM awal tahun depan.
Nama Joehari dicadangkan dalam satu pertemuan tertutup bersama beberapa ahli gabungan FA, termasuk wakil Persatuan Bolasepak Negeri (FA) pada Ahad lalu.
Barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM untuk penggal 2021-2025 bakal berakhir selewat-lewatnya awal tahun depan dengan satu pemilihan perlu diadakan untuk mencari barisan Exco baru.
Dalam pada itu, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, SAFA sentiasa berusaha untuk membangunkan sukan bola sepak di negeri ini dengan sasaran agar lebih ramai bakat tempatan dapat bermain di peringkat negeri dan Kebangsaan.
“Seperti mana pasukan lelaki, pasukan wanita juga kita akan terus bangunkan dan cungkil, ketengahkan bakat-bakat baru demi kelangsungan pasukan bola sepak dan juga mutu bola sepak di negeri Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA