KUNDASANG: Sambutan Hari Natal pada tahun ini membawa sinar bahagia kepada seorang buruh binaan dan keluarga sebagai penerima Rumah Bantuan Mesra Rakyat (BMR) Sabah Electricity.
James Kindayas, 45 tahun dan isteri serta empat orang anak yang sebelum ini tinggal di rumah yang kurang selesa kini dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik di rumah sendiri di Kampung Waag, Kundasang.
Kunci rumah telah diserahkan kepada beliau pada 8 Disember, 2024 oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Ir.Ts. Mohd Yaakob Jaafar.
Bantuan Mesra Rakyat (BMR) merupakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Sabah Electricity di mana penerima akan diperuntukkan sebuah rumah yang mempunyai tiga bilik tidur, ruang tamu, dapur dan tandas dengan kos pembinaan sebanyak RM75,000.
Sebanyak tujuh buah rumah telah dibina pada tahun 2024 di daerah Tambunan, Tuaran, Ranau, Kundasang, Kinabatangan, Tawau dan Kimanis.
Mohd Yaakob berkata projek BMR ini melibatkan kerja-kerja untuk membaiki, membina baharu, membiayai pembelian rumah kediaman untuk golongan yang memerlukan bantuan, termasuk OKU, ibu tunggal, warga emas dan fakir miskin berstatus Asnaf.
SESB melancarkan projek bantuan perumahan ini pada 2020 untuk membina rumah kediaman baharu bagi golongan memerlukan dan asnaf, dengan tujuan antaranya, bagi menyatakan keprihatinan SESB terhadap golongan yang memerlukan.