KUALA LUMPUR– Dasar dan polisi kerajaan dalam memerangi rasuah serta menerapkan nilai tata kelola yang tinggi di kalangan penjawat awam wajar dinilai dengan “gred A” berikutan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) pada ketika ini.
Bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad, berkata dasar serta polisi kerajaan yang berkaitan rasuah dan penerapan nilai tata kelola itu menunjukkan iltizam Anwar, yang juga dikenali sebagai PMX, yang konsisten sejak awal pemerintahannya.
Dzulkifli, yang juga seorang pengamal undang-undang, berkata sebelum ini belum pernah ada Perdana Menteri yang berani menyatakan secara terbuka bahawa gejala rasuah dalam negara ini sudah menjadi sistemik dan perlu diperangi habis-habisan.
“Kerajaan Sedar dan Berani Berubah”
Katanya, kenyataan tegas itu menunjukkan bahawa kerajaan sedar dan menerima hakikat bahawa gejala rasuah telah meresap secara terancang di dalam sektor awam dan masyarakat.
“Sepanjang penglibatan saya dalam bidang perundangan, belum pernah ada Perdana Menteri yang berani memberi kenyataan seperti ini.
“Beliau (PMX) bercakap mengenai dasar dan polisi kerajaan ini beberapa kali secara terbuka di Parlimen, program rasmi kerajaan, dan bagi saya, selayaknya ia mendapat ‘gred A’,” katanya.
Reformasi Undang-Undang Diperlukan
Walau bagaimanapun, katanya, dasar dan polisi ini perlu dilaksanakan seiring dengan tindakan yang tegas oleh kerajaan, disertai sokongan penjawat awam, bagi menangani defisit keyakinan di kalangan rakyat.
Dzulkifli juga berpendapat bahawa kerajaan perlu menyegerakan reformasi perundangan dengan membebaskan institusi undang-undang daripada pengaruh politik.
“Kerajaan pimpinan PMX boleh memulakan reformasi ini dengan meletakkan pelantikan Ketua Hakim Negara, Ketua Audit Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya Sprm & Panglima Angkatan Tentera di bawah kuasa Majlis Raja-Raja Melayu supaya ia dilihat bebas daripada pengaruh politik.
“Dalam hal ini, kerajaan boleh mengemukakan beberapa nama untuk dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja, dan pelantikan dibuat berdasarkan syor kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Saya percaya jika ini berlaku, rakyat akan melihat pelantikan ini sebagai bebas daripada pengaruh politik. Kepercayaan rakyat serta imej kerajaan juga akan meningkat,” katanya.
Tambahnya lagi, kuasa Peguam Negara juga harus dipisahkan daripada kuasa pendakwaan seperti yang diamalkan di negara-negara lain.
“Di United Kingdom, misalnya, mereka telah memisahkan kuasa sebagai penasihat undang-undang kerajaan (Peguam Negara) dengan kuasa pendakwaan.
“Peguam Negara boleh dilantik di kalangan orang politik kerana tugasnya adalah menasihati kerajaan. Namun, kuasa mendakwa perlu dipisahkan agar ia benar-benar bebas daripada pengaruh politik.
“Dengan reformasi ini, kerajaan dapat menepis tanggapan wujudnya pertuduhan politik, khususnya bagi kes-kes berprofil tinggi. Saya percaya kerajaan sedar dan mungkin telah membincangkan perkara ini, tetapi ia harus disegerakan,” katanya.
Peningkatan Peruntukan SPRM Disambut Baik
Dalam perkembangan lain, Dzulkifli turut menyambut baik keputusan kerajaan meningkatkan peruntukan kepada SPRM sebanyak lebih RM20 juta.
“Sebenarnya, peningkatan peruntukan itu amat wajar, walaupun bukan angka yang sangat besar jika dibandingkan dengan keperluan SPRM. Namun, pada pandangan saya, tindakan kerajaan ini adalah tepat,” katanya.
Pada Belanjawan 2025, kerajaan meningkatkan peruntukan SPRM daripada RM338 juta kepada RM360 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM22 juta.