Semporna : Lebih 300 penduduk sekitar Pulau Larapan di sini hadir memeriahkan Program Kemasyarakatan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) yang diadakan di Kampung Larapan Hujung, Pulau Larapan.
Program yang dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali itu adalah bertujuan bagi mengukuhkan kesedaran keselamatan dan tahap patriotisme masyarakat selaras dengan moto ESSCOM iaitu ‘Bersama-sama Menjana Kesejahteraan’.
Selain itu, program itu juga adalah bagi menyantuni masyarakat di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) melalui program-program kemasyarakatan.
Pemilihan Pulau Larapan sebagai lokasi adalah kerana pulau berkenaan terletak berhampiran dengan sempadan negara dan memiliki potensi serta risiko kepada ancaman rentas sempadan yang berakar umbi daripada kemasukan anasir asing atau pendatang asing tanpa izin (PATI).
Jamaluddin ketika berucap berkata, ESSCOM percaya komuniti merupakan tonggak kepada kesejahteraan ESS Zone yang memainkan peranan signifikan dalam membantu ESSCOM mengekalkan keamanan, ketenteraman dan kesejahteraan di kawasan pantai Timur Sabah.
“Justeru, atas sebab itulah ESSCOM turun padang menganjurkan program ini bagi memperkukuhkan lagi kesedaran keselamatan dan tahap patriotisme penduduk di ESS Zone khususnya di kampung ini.
“Pendek kata, komuniti ESS Zone merupakan mata dan telinga ESSCOM dalam mengenal pasti anasir-anasir asing yang jika tidak ditangani lebih awal sudah pasti akan membawa kemudaratan.
“Bagi pihak ESSCOM dan bersama-sama dengan Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos, menyeru seluruh masyarakat Pulau Larapan khususnya dan pantai Timur amnya, untuk segera melaporkan sebarang insiden yang meragukan kepada pihak ESSCOM untuk disiasat dengan lebih lanjut,” katanya.
Istimewanya program kali ini, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) ESSCOM telah berkolaborasi menyediakan juadah makan tengah hari secara gotong royong bersama-sama penduduk kampung pulau tersebut.
Selain itu, antara aktiviti yang turut diadakanadalah taklimat keselamatan dan majlis dialog oleh bahagian perisikan ESSCOM, pameran oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Semporna serta perlawanan tarik tali antara ESSCOM dan penduduk Kampung Pulau Larapan serta Sukan Rakyat.
Di samping itu, seramai 100 orang golongan asnaf dari Kampung Larapan Hujung, Kampung Larapan Tengah, Kampung Tandoan, Kampung Silawa dan Kampung Sumandi turut menerima sumbangan berupa barangan keperluan asas. – SABAH MEDIA / FOTO ESSCOM