Kota Kinabalu : Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kota Kinabalu akan melalui transformasi sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan (CoE) bermula tahun depan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, langkah strategik itu adalah bagi melonjakkan ILKKM Kota Kinabalu sebagai pengeluar tenaga kerja kesihatan berkemahiran.
Katanya, selain itu ia juga berupaya meningkatkan kualiti penyampaian sistem kesihatan negara bertaraf antarabangsa dan sebanyak dua Program Lanjutan yang akan terlibat iaitu Program Endoskopi dan Anestesia.
“Bahagian Pengurusan Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menaik taraf peralatan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) mengikut keperluan ILKKM dalam memastikan ILKKM Sabah serba lengkap dengan peralatan PdP yang terkini.
“Pada tahun depan, ILKKM Sabah (Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau) akan mendapat peruntukan sebanyak RM199,626.00 untuk pembelian peralatan PdP,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Pengukuhan Pasukan Dan Memperkasa Budaya Koporat ILKKM Kota Kinabalu di sini semalam.
James yang juga Exco Kesihatan berkata, kebajikan pelatih ILKKM Sabah juga diberi perhatian dengan menggantikan tilam dan katil yang usang.
Katanya, sebanyak 1,354 buah tilam dan katil (1,354 buah) baharu telah diterima bermula bulan Oktober lalu dengan kos sebanyak RM737,040.
Terdahulu, James berkata, program yang dijalankan itu sangat baik untuk membentuk imej anggota ILKKM yang sihat, berketerampilan dan menjadi role model kepada pelatih.
“Melalui aktiviti sukan yang dijalankan, kita dapat membina satu pasukan yang padu, tanpa mengira jawatan atau latar belakang dan bergerak ke arah matlamat yang sama.
“Dalam dunia yang semakin kompetitif ini, kekuatan sebuah organisasi terletak pada kerjasama dan kesepaduan pasukannya. Apabila kita bersatu, kita dapat mengatasi pelbagai cabaran dengan lebih berkesan,” katanya. – SABAH MEDIA