Oleh: Wan Azrain Adnan
16 Disember 2024
Pada akhir Oktober 2024, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengumumkan penyiasatan terhadap dakwaan kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi, melibatkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), sebuah organisasi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM). Penyiasatan ini menjurus kepada kontrak bernilai RM1.8 bilion yang dianugerahkan kepada NAFAS antara 2021 hingga 2023.
Pengantungan Perlembagaan NAFAS
Sejurus pengumuman tersebut, KPKM menyatakan kesediaannya untuk memberi kerjasama penuh kepada SPRM. Bermula 1 November 2024, Pendaftar Pertubuhan Peladang menggantung Perlembagaan NAFAS untuk membolehkan siasatan dan penambahbaikan pengurusan dilakukan. Malangnya, ini bukan kali pertama isu tadbir urus menghantui NAFAS; perlembagaan organisasi tersebut pernah digantung pada 2018 atas alasan yang sama.
Sebagai sebuah organisasi yang menerajui persatuan peladang negara, NAFAS menguruskan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) sejak 1998, dengan keahlian melebihi 900,000 petani. Namun, dakwaan kartel dalam organisasi ini mengundang perhatian ramai kerana melibatkan sektor strategik berkaitan keterjaminan makanan negara.
Isu Sistemik Kartel
Kartel bukan isu baru di Malaysia. Ia merupakan masalah sistemik yang telah lama berakar dan menjejaskan ekonomi di pelbagai peringkat. Kartel biasanya merugikan pengguna dengan harga barangan dan perkhidmatan yang tinggi serta menghalang persaingan sihat, menjadikan ekonomi negara tidak dapat berfungsi secara optimal. Akhirnya, hanya kartel yang menikmati keuntungan besar, sementara rakyat menanggung beban.
Langkah Membanteras Kartel
Untuk menangani isu ini, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) ditubuhkan pada 2011 di bawah Akta Suruhanjaya Persaingan 2010. Dalam tempoh 12 tahun sehingga Disember 2023, MyCC telah mengambil tindakan terhadap hampir 250 syarikat yang terlibat dalam aktiviti anti-persaingan, dengan mengenakan penalti kewangan melebihi RM150 juta.
Menurut MyCC, aktiviti anti-persaingan merangkumi:
- Penetapan harga.
- Tipuan bida.
- Pembatasan pengeluaran.
- Perkongsian pasaran.
MyCC telah mengadakan siasatan dalam pelbagai sektor seperti pengangkutan, perkilangan, penyenggaraan, pembinaan, pelancongan, dan pertanian. Sebagai contoh, pada 2023, MyCC mengenakan penalti RM415 juta terhadap lima syarikat pengeluar makanan ayam yang terlibat dalam kartel penetapan harga makanan ayam.
Industri Padi dan Beras: Mangsa Kartel?
Pada September 2023, Menteri Besar Kedah mendakwa kewujudan kartel dalam industri padi dan beras negara. Kartel ini didakwa menjejaskan hasil padi, pendapatan petani, dan bekalan beras tempatan di pasaran. Namun, pada Januari 2024, KPKM menafikan dakwaan tersebut, menyatakan bahawa dengan 39,000 lesen berkaitan industri padi dan beras yang dikeluarkan, tiada pihak yang mampu memonopoli sektor ini.
Namun, penjelasan ini dianggap simplistik dan naif, kerana kartel tidak memerlukan jumlah pemain yang besar; cukup beberapa pihak dominan bekerjasama untuk mengawal pasaran. Keputusan awal MyCC pada September 2024 terhadap 81 syarikat yang terlibat dalam penetapan harga perkhidmatan umrah menjadi bukti bahawa kartel boleh wujud walaupun dengan jumlah syarikat yang banyak.
Harapan Transformasi
Pada September 2024, Perdana Menteri Malaysia menyatakan bahawa aktiviti kartel dalam sektor pertanian mesti dihentikan segera. Susulan itu, MyCC telah menyiapkan laporan mengenai kartel dalam industri padi dan beras, yang kini menunggu pengumuman rasmi. Laporan ini diharap menjadi langkah awal ke arah transformasi menyeluruh sektor ini.
Siasatan SPRM dan penggantungan Perlembagaan NAFAS adalah permulaan yang penting untuk memecahkan aktiviti kartel dalam industri padi dan beras. Namun, tindakan ini mesti diikuti dengan transformasi mendalam melibatkan mandat, tata kelola, dan struktur agensi berkaitan agar kartel tidak dapat muncul semula.
Kesimpulan
Rakyat sememangnya membenci kartel yang hidup mewah di atas penderitaan rakyat. Oleh itu, hukuman bukan sahaja dalam bentuk penalti kewangan tetapi juga hukuman penjara perlu dikenakan kepada pihak terlibat. Transformasi industri padi dan beras adalah kritikal untuk memastikan sektor ini tidak terus berada di takuk lama, dengan hasil padi yang rendah, petani yang miskin, dan agenda keterjaminan makanan yang goyah.
Maka, tindakan tegas kerajaan diharap dapat membawa perubahan yang signifikan, bukan sekadar tindakan sementara yang tidak memberi impak jangka panjang. Rakyat Malaysia tidak lagi mahu melihat “pi mai pi mai tang tu” dalam isu kritikal seperti ini.