HomeUtamaPembangunan infrastruktur asas, utiliti perlu perhatian khusus

Pembangunan infrastruktur asas, utiliti perlu perhatian khusus

Read Time:2 Minute, 33 Second

Kota Kinabalu: Pengukuhan infrastruktur asas dan utiliti adalah salah satu aspek pembangunan yang kritikal dan memerlukan perhatian khusus di Sabah.

Justeru Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahu Kerajaan Persekutuan memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur asas dan utiliti di negeri ini dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK- 13).

“Penyediaan utiliti asas seperti bekalan air bersih dan elektrik yang lengkap, terutamanya di kawasan luar bandar, adalah aspek penting dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat, selain dapat merangsang pelbagai aktiviti seperti pertumbuhan ekonomi dan pelaburan.

“Ini penting bagi mencipta persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan sosioekonomi yang mampan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Negeri Sabah Peringkat Persekutuan Bersama Kementerian Ekonomi di The Pacific Sutera Hotel di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk lr. Shahelmey Yahya.

Hajiji berkata, jurang pembangunan yang signifikan antara bandar dan luar bandar di Sabah merupakan cabaran yang perlu diatasi secara kolektif.

“Kerajaan negeri percaya bahawa pembangunan yang seimbang adalah kunci kepada kesejahteraan masyarakat. Ini seiring dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memastikan setiap rakyat, tanpa mengira lokasi geografi, dapat menikmati manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap agar inisiatif kerajaan Persekutuan untuk merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan memperkukuhkan pembangunan sosioekonomi di Sabah, seperti yang dilaksanakan dalam RMK-12, dapat diteruskan dan diperkasakan lagi melalui RMK-13.

“Dengan kerjasama berterusan antara kerajaan Persekutusan dan negeri dalam merealisasikan usaha ini, saya yakin kita mampu menyediakan peluang yang setara kepada semua rakyat Sabah untuk menikmati kemajuan dan kesejahteraan yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata Sabah merupakan penyumbang keenam kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nasional dengan nilai sebanyak RM83.2 billion atau 5.3 peratus daripada keseluruhan KDNK negara pada tahun 2023.

Menurutnya, dengan potensi ekonomi yang luas dan sumber daya yang tersedia, Sabah sebenarnya mempunyai kapasiti untuk meningkatkan lagi prestasi ekonomi negeri dan mampu memberikan sumbangan yang lebih signifikan kepada KDNK nasional.

Justeru katanya, bagi memperkasa ekonomi negeri, tumpuan utama kerajaan kini adalah untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perkembangan sektor perniagaan dan pelaburan serta memacu aktiviti ekonomi berimpak tinggi.

‘Dalam usaha mencapai matlamat ini, penekanan diberikan bagi membangunkan lebih banyak aktiviti hiliran dalam industri-industri utama, termasuk biojisim, kelapa sawit serta minyak dan gas. 

“Dengan menggalakkan pengembangan sektor-sektor ini, Sabah berpotensi untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyatnya,” katanya.

Dalam konteks penyediaan inisiatif dan projek pembangunan di bawah RMK-13, beliau amat berharap agar kementerian, jabatan dan agensi negeri Sabah dapat dilibatkan secara lebih proaktif, bermula seawal fasa perancangan projek.

“Dengan penglibatan awal ini, kita dapat memastikan pelaksanaan projek yang benar- benar memenuhi keperluan negeri dapat diberi keutamaan.

“Selain itu, kolaborasi bersama agensi negeri dalam menentukan projek pembangunan di bawah biayaan Persekutuan juga dapat meningkatkan potensi kebolehlaksanaan projek kerana isu-isu seperti ketersediaan tapak dan utiliti, serta cadangan intervensi yang sesuai dapat dikenal pasti di peringkat awal.

“Dengan penyelarasan bersama, kita dapat memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan di Sabah berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya.- SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular