Oleh: Khairul Anwar Bin Junus
MEMAHAMI BIDANG KUASA TYT SABAH
Sebelum kita membantah pelantikan Tun Musa Aman sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, kita perlu terlebih dahulu memahami bidang kuasa TYT itu sendiri. Dan apabila kita memahami bidang kuasa itu, kita perlu melihat sejauh mana bidang kuasa TYT mampu mempengaruhi kehidupan kita. Sudah tentu banyak persoalan diluar sana yang berlegar antaranya; Adakah bidang kuasa TYT sama seperti Monarki Mutlak di Negara Brunei dan Arab Saudi yang mana TYT memegang kuasa penuh dalam memerintah negeri? adakah TYT sama seperti Presiden Republik seperti di Indonesia dan USA yang mengetuai badan eksekutif dan merupakan panglima tertinggi Angkatan Tentera? ataupun adakah TYT mempunyai kuasa dalam mengubal undang-undang di Sabah dan banyak lagi persoalan.
Sebagai permulaan, mari kita kenali terlebih dahulu jawatan TYT ini. Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah merupakan Ketua Negeri Sabah. Beliau dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah berunding Ketua Menteri Sabah. Jawatan ini diwujudkan selepas Sabah merdeka di bawah pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Ia diwujudkan bagi menggantikan jawatan Gabenor Borneo Utara. Pada mulanya Gabenor telah dilantik oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British, yang bertanggungjawab untuk pentadbiran protektorat. Apabila Borneo Utara menjadi Tanah Jajahan Mahkota pada tahun 1946, setelah Perang Dunia Kedua, Gabenor Borneo Utara British menjadi orang yang dilantik oleh Mahkota (iaitu Kerajaan United Kingdom).
Hakikatnya, Sabah tidak mempunyai raja atau sultan. Sebaliknya Yang Di-Pertua Negeri merupakan ahli Majlis Raja-Raja. Setiap mesyuarat yang dihadirinya akan diiringi oleh Ketua Menteri Sabah. Bagaimanapun, Yang Di-Pertua Negeri tidak boleh mengundi untuk memilih Yang Di-Pertuan Agong dan tidak boleh mempengerusikan mesyuarat Majlis Raja-Raja.
Di bawah Perlembagaan Negeri Sabah, Yang di-Pertua Negeri dilantik selama empat (4) tahun. Yang di-Pertua Negeri menjalankan kuasa eksekutif mengikut Perlembagaan Negeri dan membuat keputusan dengan nasihat Kabinet atau Ketua Menteri. Bagaimanapun, beliau juga boleh bertindak atas budi bicaranya dalam melaksanakan fungsi-fungsi berikut:
- Perlantikan Ketua Menteri
- Menangguh dari memperkenankan permohonan untuk membubarkan Dewan Undangan.
Persetujuan daripada Yang Di-Pertua Negeri adalah diperlukan bagi semua undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Perundangan yakni Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dalam bidang pentadbiran, Yang di-Pertua Negeri mempunyai kuasa untuk melantik pegawai-pegawai penting negeri, seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Pengerusi GLC, Ahli Lembaga Pengarah GLC Sabah dll.
TYT juga sebenarnya adalah sumber kehormatan dan keutamaan dari segala orang. Yang di-Pertua Negeri adalah simbol kedaulatan dan perpaduan negeri. Ia termaktub di dalam Perkara 70, Perlembagaan Persekutuan. CYang di-Pertua Negeri juga mempunyai kuasa untuk menganugerahkan darjah, bintang, dan pingat kebesaran negeri kepada individu-individu yang berjasa kepada negeri.
Jadi, berbalik kepada persoalan diatas:
Adakah bidang kuasa TYT sama seperti Monarki Mutlak di Negara Brunei dan Saudi yang mana TYT memegang kuasa penuh dalam memerintah negeri? Jawapannya: TIDAK. Adakah TYT sama seperti Presiden Republik seperti di Indonesia dan USA yang mengetuai badan eksekutif dan merupakan panglima tertinggi Angkatan Tentera? Jawapannya: TIDAK. Adakah TYT mempunyai kuasa dalam mengubal undang-undang di Sabah? Jawapannya: YA, selepas undang-undang itu dibahas dan mendapat sokongan majoriti ADUN di dalam Dewan Undangan Negeri, persetujuan daripada Yang Di-Pertua Negeri adalah diperlukan bagi semua undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Perundangan.
MENGAPA TUN MUSA AMAN DILANTIK?
Baiklah, kita masuk bab seterusnya, mengapa Tun Musa Aman? Pelantikan beliau sebenarnya telah pun mendapat perkenan YDPA. Perkara 1 (1) Perlembagaan Negeri Sabah menyatakan Yang di-Pertua Negeri dilantik mengikut budi bicara Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan YAB Ketua Menteri.
“ There shall be a Head of State for Sabah, to be called the Yang di-Pertua Negeri, who shall be appointed by the Yang di-Pertuan Agong acting in his discretion but after consultation with the Chief Minister”
Sebab 1: Tun Musa Aman adalah seorang yang beragama Islam.
Pelantikan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah secara konvensyen dipilih dalam kalangan orang Islam bagi mewakili Yang di-Pertuan Agong dalam isu pengurusan dan pentadbiran agama Islam di negeri Sabah. Pelantikan TYT mengambil kira agama rasmi Sabah iaitu Islam seperti yang termaktub dalam Perkara 5 (A) Perlembagaan Negeri Sabah. Walaupun dalam Perlembagaan Negeri Sabah tiada menyatakan secara jelas agama TYT, namun memandangkan agama rasmi bagi Negeri Sabah adalah Islam seperti yang termaktub dalam Perkara 5 (A) Perlembagaan Negeri Sabah, maka secara konvensyen dan sewajarnya ketua utama negeri Sabah adalah dalam kalangan orang Islam. Amalan secara konvensyen ini sudah berlaku sejak merdeka lagi dan tidak pernah berlaku apa-apa keadaan yang mengganggu gugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri Sabah.
“Islam is the religion of the State; but other religions may be practised in peace and harmony in any part of the State”
Sebab 2: Tun Musa Aman adalah Orang Sabah.
Tun adalah anak jati Beaufort yang dilahirkan pada 30 Mac 1951. Ibu Tun ialah berbangsa Dusun dari Daerah Keningau, manakala nenek moyangnya melalui susur galur bapanya berketurunan campuran Melayu Pakistan dan Brunei dari Daerah Beaufort. Beliau mendapat pendidikan rendah di sekolah rendah Anglikan St. Paul, Beaufort dan kemudiannya menghadiri Kolej Sabah dan Sekolah Menengah All Saints, kedua-duanya di Kota Kinabalu untuk pendidikan menengahnya.
Sebab 3: Pengalaman beliau dalam dunia Politik Sabah adalah luas dan lama.
Beliau mula aktif sebagai seorang ahli politik sekitar tahun 1980 melalui parti USNO. Beliau pernah dilantik sebagai Bendahari UMNO Sabah pada 23 Mac 1991 selepas UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah. Pada 16 Mac 1992, beliau dilantik memegang jawatan Bendahari Barisan Nasional Sabah. Pada 20 Mac 1999, beliau dilantik sebagai Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah. Kemudian pada 27 Mac 2001, beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan Sabah. Pada 27 Mac 2003, beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang ke-14.
Beliau berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sabah ke-14 dari Mac 2003 hingga Mei 2018, Menteri Kewangan Negeri Sabah dari 2001 hingga Mei 2018, Menteri Negeri di Jabatan Ketua Menteri Sabah dari 1999 hingga 2001 dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (ADUN) bagi Sungai Sibuga dari Februari 1994 hingga September 2020. Beliau juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Sabah. Beliau merupakan Ketua Menteri Sabah paling lama berkhidmat, memegang jawatan itu selama 15 tahun.
Sebab 4: Hubungan beliau dengan YAB DSP Haji Hajiji adalah rapat.
Sesuai dengan Perkara 1 (1) Perlembagaan Negeri Sabah, Ketua Menteri Sabah memainkan peranan penting dalam berunding dengan YDPA dalam penentuan pelantikan TYT. Ketua Menteri Sabah hari ini adalah YAB DSP Hj Hajiji Hj Noor. Hakikatnya YAB DSP Haji Hajiji mempunyai hubungan rapat dengan Tun Musa Aman dari dahulu baik sebagai rakan dalam Parti Politik mahupun rakan dalam Pentadbiran Kerajaan Negeri. YAB DSP Hajiji telah bersama-sama Tun di dalam kabinet beliau sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah sejak tahun 2004. Malah mereka juga pernah bersama-sama dalam satu Parti, yakni Parti UMNO. Saya percaya hubungan mereka adalah lebih jauh hanya sekadar sebagai rakan dalam politik, tetapi saya boleh mengangap kedua-dua individu ini adalah seperti Guru & Anak Didik.
Sebab 5: Beliau telah bebas daripada kes mahkamah.
Pada 8 Jun 2020, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Tun Musa Aman daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah. Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas diberitahu oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Abdul Hamid, bahawa pihak pendakwaan menarik balik semua tuduhan terhadap Musa.
PENUTUP
Jadi, jika ditanya kepada saya, adakah saya menyokong pelantikan ini? Saya menyokong pelantikan Tun Musa Aman sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baru. Saya percaya pelantikan beliau mampu menstabilkan lagi keadaan politik di Sabah memandangkan beliau adalah orang lama yang sangat berpengalaman dan berpengaruh dalam dunia politik Sabah. Apatah lagi dalam keadaan politik Sabah pada hari ini yang mempunyai pelbagai ragam dan rencamnya.
Beliau mempunyai pengaruh dan sokongan dalam kalangan pemimpin di Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Barisan Nasional (BN). Walaupun beliau mungkin tidak disukai oleh beberapa pengikut dan penyokong parti Politik, namun kehadiran pemimpin PH dan Warisan semasa pelantikan beliau di Istana Negara menyaksikan bahawa beliau mempunyai sokongan kuat dari semua parti yang mempunyai wakil rakyat di Sabah.
Saya percaya, pelantikan beliau ini adalah tepat pada masanya bagi menggantikan Tun Juhar yang telah lama berkhidmat sebagai TYT dari tahun 2011. Adalah menjadi harapan saya, agar tempoh penggal selama 4 tahun sebagai TYT ini dapat membuka lembaran baru kepada Sabah.
Artikel ini diterima melalui emel rasmi kami, [email protected], dan telah melalui beberapa pindaan oleh pihak editorial bagi menyampaikan maksud yang lebih mendalam dan tersusun.
Jika anda mempunyai pendapat, emailkan juga kepada kami