Beaufort: Kerajaan Sabah menyediakan pelbagai inisiatif bantuan pendidikan kepada anak-anak di negeri ini bagi memastikan mereka dapat melanjutkan pelajaran dengan lebih sempurna malah mampu bersaing hingga ke peringkat lebih tinggi.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, pendidikan merupakan asas penting kepada generasi kini yang akan menjadi pewaris negara pada masa akan datang.
“Kerajaan Sabah menyediakan pelbagai inisiatif bantuan pendidikan kepada anak-anak di negeri ini bagi tujuan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Justeru saya menyeru kepada semua pelajar agar segera merebut peluang yang disediakan Kerajaan khususnya bagi yang melanjutkan pengajian di peringkat universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint John Beaufort di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 140 pelajar dan guru menerima anugerah meliputi 13 kategori.
Ketika berucap, Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, kecemerlangan sahsiah adalah asas kepada pembangunan insan yang holistik.
Katanya, sahsiah yang baik bukan sahaja mencerminkan nilai peribadi individu, tetapi juga menjadi cerminan kepada keluarga, sekolah, dan masyarakat.
“Murid yang memiliki sahsiah terpuji mudah dihormati, lebih cenderung untuk berjaya, dan mampu menjadi contoh teladan kepada rakan sebaya.
“Di samping itu, nilai-nilai kepemimpinan merupakan elemen penting yang perlu diterapkan dalam diri setiap murid. Pemimpin yang baik ialah individu yang boleh memberi inspirasi, membuat keputusan bijak, serta membawa perubahan positif kepada orang lain.
“Kepemimpinan bukan hanya untuk mereka yang memegang jawatan tertentu, tetapi juga untuk semua yang ingin memimpin diri sendiri ke arah kejayaan,” katanya. – SABAH MEDIA