HomeUtamaMemacu Sabah ke Persada Dunia: Acara Antarabangsa dan Inisiatif Pelancongan Baharu

Memacu Sabah ke Persada Dunia: Acara Antarabangsa dan Inisiatif Pelancongan Baharu

Read Time:1 Minute, 47 Second

Oleh NORMIMIE DIUN / Foto YUSOF MOHAMAD

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew, mengumumkan inisiatif besar bagi meningkatkan kedudukan Sabah di peta dunia melalui sektor pelancongan dan acara antarabangsa.

Katanya, rancangan ini bermula dengan sambutan Tahun Baharu Cina dan kemuncak persiapan Sabah menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang akan berlangsung pada Jun tahun hadapan.

“Sabah kini bersiap sedia untuk menyambut acara bersejarah, termasuk perhimpunan ASEAN pada Jun 2025. Ini akan menjadi kali pertama Sabah menjadi tuan rumah acara antarabangsa sebesar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Malaysia Madani Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Sabah Bersama YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Naib Presiden Keadilan Merangkap Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam di sini pada Khamis.

Menurut Christina, Malaysia yang akan mempengerusikan ASEAN pada 2025, dengan lebih daripada 10 negara anggota ASEAN serta lebih 1,000 delegasi utama dari sektor pelancongan, pelaburan, dan pelbagai bidang lain dijangka hadir.

Bagi sambutan Tahun Baharu Cina 2025, kementeriannya merancang untuk menganjurkan perayaan pada hari kedua perayaan tersebut dengan melibatkan penyertaan pelbagai kaum untuk menggalakkan perpaduan.

“Fokus kami adalah mengundang pelancong dan penduduk tempatan untuk meraikan perayaan bersama. Tahun lalu, kami menjangkakan kehadiran 10,000 orang, tetapi angka sebenar mencecah 14,000 hingga 15,000 orang. Tahun hadapan, kami berharap untuk mencatatkan kehadiran yang lebih tinggi,” ujarnya.

Selain itu, Christina turut memaklumkan pelancaran tiga projek pelancongan utama menjelang 2025, yang akan diumumkan dalam beberapa minggu akan datang. Projek-projek ini bertujuan untuk menarik pelancong berulang dengan memperkenalkan produk pelancongan baharu yang menarik di Sabah.

“Sabah mempunyai potensi besar. Kami memerlukan produk pelancongan baharu untuk memastikan pelancong terus kembali ke sini,” tambahnya.

Selain itu, Sabah juga akan menjadi tuan rumah acara MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan, dan Pameran) di bawah payung ASEAN pada Jun 2024. Acara ini bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama serantau dan memperlihatkan keupayaan Sabah sebagai destinasi utama untuk acara berskala besar.

Beliau menyeru agar semua pihak terus memberikan sokongan terhadap usaha Sabah untuk memacu pertumbuhan ekonomi melalui sektor pelancongan.

“Kami bekerja keras untuk menjadikan Sabah sebuah nama global. Ia adalah cabaran besar, tetapi kami komited untuk mencapai kejayaan itu,” tegas beliau.

RELATED ARTICLES
Utama

Hentikan fitnah, Musa Aman pilihan tepat sebagai TYT Sabah – Yahya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular