Kota Kinabalu — Pihak yang mempertikai pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 kononnya sebelum ini terbabit dengan kes rasuah membuat satu tuduhan berat dan serius,
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menegaskan, tuduhan sedemikian bukan sahaja menyerang reputasi Tun Musa Aman, tetapi juga secara tidak langsung mempertikai kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam melantik beliau.
Menurutnya, Tun Musa telah dibebaskan daripada sebarang tuduhan rasuah oleh Peguam Negara, mahkamah, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2020.
“Persoalan timbul sekarang ialah kepada siapa kita perlu rujuk untuk menilai sama ada tuduhan berat ini betul atau tidak? Sudah tentu rujukan utama kita ialah kepada keputusan dibuat oleh mahkamah, SPRM dan Peguam Negara,” katanya.
Abdul Rahman menjelaskan bahawa pembebasan Musa pada Jun 2020 tidak melibatkan campur tangan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, atau Ketua Menteri Sabah ketika ini, kerana ketiga-tiga mereka belum memegang jawatan pada waktu itu.
Proses ‘vetting’ atau tapisan ketat Istana Negara juga mengambil kira khidmat Musa sebagai Ketua Menteri Sabah dan pencapaiannya dalam memajukan negeri itu katanya dalam satu hantaran di laman facebooknya hari ini.
Dalam pada itu, Menurut Rahman lagi, yang merujuk kepada siasatan yang dijalankan oleh Independent Commission Against Corruption (ICAC) di Hong Kong, sebuah agensi antirasuah yang sangat dihormati di peringkat antarabangsa berkata bahawa tiada kes yang boleh dituduh terhadap Musa.
“ICAC telah membuat siasatan terperinci, termasuk di Malaysia, dan mendapati tiada kes yang boleh dituduh terhadap Musa. ICAC mempunyai kredibiliti yang sukar dipertikai, dan ini membuktikan tuduhan terhadap Musa adalah tidak berasas,” katanya.
Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Musa pada istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara. Pelantikan Musa dibuat mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah untuk tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028.
Tun Musa menggantikan Tun Juhar Mahiruddin, yang akan menamatkan perkhidmatannya pada 31 Disember ini selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal sejak 1 Januari 2011.