HomeUtamaKPDN Sabah catat nilai rampasan lebih RM9.8 juta

KPDN Sabah catat nilai rampasan lebih RM9.8 juta

Read Time:1 Minute, 37 Second

Kota Kinabalu : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah mencatat nilai rampasan berjumlah lebih RM9.8 juta atas pelbagai kesalahan yang direkodkan sejak 1 Januari sehingga 15 Disember lalu.

Pengarah KPDN Sabah Shahril Nizam Shahidin berkata, dari jumlah itu sebanyak 1,069 kes berjaya dihasilkan menerusi pemeriksaan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan sejak awal tahun ini.

“KPDN Sabah telah menjalankan pemeriksaan ke atas 66,189 premis sejak awal tahun ini sehingga 15 Disember lalu dan telah menghasilkan 1,069 kes dengan nilai kompaun RM204,200.

“Nilai sitaan yang dianggarkan menerusi kes yang dihasilkan adalah berjumlah RM9,806,970.18 sementara nilai denda mahkamah pula sebanyak RM32,000,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Shahril berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Terdahulu, KPDN Sabah mengadakan pemeriksaan sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 yang berkuat kuasa mulai semalam hingga 27 Disember ini bagi peringkat negeri Sabah.

Tempoh pelaksanaan adalah selama lima hari iaitu selama dua hari sebelum hari perayaan, satu hari pada hari perayaan dan dua hari selepas hari perayaan.

Sebanyak 13 jenis barangan diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Krismas 2024.

Antara barangan yang dikawal sempena SHMMP termasuklah Kepak ayam; Daging kambing biri-biri bertulang import;    Kubis bulat import (indonesia dan china tidak termasuk kubis beijing); Tomato; Lada benggala hijau; Ubi kentang import china; Cili merah; Bawang besar merah import; dan Bawang kuning besar.

Turut disenaraikan Lobak merah; Babi hidup (ladang sahaja); Daging babi (perut); dan Daging babi (daging dan lemak).

Shahril  berkata, skim ini dikuatkuasakan sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan sepanjang musim perayaan Krismas serta memastikan keberadaan bekalannya di pasaran.

Katanya, pelaksanaan skim ini juga sebahagian dari usaha prihatin kerajaan untuk menstabilkan harga ketika permintaan dijangka meningkat bagi membolehkan rakyat Malaysia berbilang kaum, agama dan budaya menikmati skim ini dalam keadaan ceria dan harmoni. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah kekal harmoni dengan keunikan kepelbagaian – Jeffrey

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular