Kota Kinabalu : Semua kaunter Pusat Zakat Sabah (PZS) Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) termasuk cawangan dibuka setiap hari termasuk cuti umum bagi membolehkan umat Islam menunaikan zakat.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kakitangan PZS juga akan sentiasa membantu para pembayar zakat untuk menyelesaikan tanggungjawab mereka.
“Menjelang ambang tahun baharu 2025 ini, pada kebiasaannya akan ramai umat Isam akan menunaikan zakat terutamanya zakat perniagaan.
“Justeru saya ingin memaklumkan bahawa semua kaunter PZS MUIS termasuk cawangan dibuka setiap hari termasuk cuti umum. Misalnya pada hari Sabtu dan Ahad, kaunter akan dibuka bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.
“Ini adalah bagi membolehkan umat Islam dapat menyelesaikan tanggungjawab mereka dan kita akan membantu seperti mana sebelum-sebelum ini untuk memudahkan urusan pembayaran zakat berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Arifin yang juga Exco Agama dan Pendidikan Sabah berkata, jumlah kutipan zakat yang berjaya direkodkan PZS pada tahun ini adalah sebanyak RM121.7 juta dan agihan sebanyak RM173.9 juta.
“Jumlah agihan lebih banyak berbanding pungutan adalah disebabkan oleh arahan Jabatan Audit Negara yang meminta agar menyelesaikan semua agihan yang sekiranya ada terbaki, kita akan bayar terus pada tahun semasa atau kita selesaikan pada tahun ini.
“Ini adalah nasihat daripada Jabatan Audit Negara untuk kita menyelesaikan semua agihan berkenaan dan sudah kita agihkan sejumlah RM173.9 juta untuk asnaf-asnaf yang berhak menerimanya,” katanya.
Sementara itu, PZS menerusi hantaran di Facebooknya pembayaran zakat khususnya harta boleh dibayar menerusi beberapa platform pembayaran seperti laman sesawang; perbankan internet; ejen dan skim potongan zakat berjadual. – SABAH MEDIA