KOTA KINABALU: Usia 70-an tidak menjadi halangan bagi sekumpulan veteran dari Kota Kinabalu untuk beraksi lincah di gelanggang badminton sempena lawatan persahabatan ke Brunei Darussalam baru-baru ini.
Naib Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Sabah (Mubarak), Datuk Johari Dun memaklumkan rombongan itu terdiri daripada 20 ahli berusia antara 50 hingga 70 tahun yang aktif dalam sukan tersebut.
“Kami mengadakan lawatan selama beberapa hari untuk bertanding bersama persatuan badminton veteran Brunei. Walaupun kebanyakan ahli sudah bersara, semangat mereka tetap membara dengan stamina yang masih baik,” katanya ketika dihubungi media baru-baru ini.
Menurut Johari, 66, rahsia stamina para veteran adalah komitmen terhadap latihan sejak usia muda. Hampir setiap hari mereka berlatih, membolehkan mereka terus aktif dan cergas di gelanggang walaupun usia semakin meningkat.
Beliau turut berkongsi bahawa lawatan ke Brunei adalah kali pertama sejak pandemik Covid-19 melanda, selepas aktiviti kelab terhenti sementara. Sebelum ini, mereka pernah mengadakan perlawanan ke Indonesia dan Filipina.
“Sukan ini bukan sekadar aktiviti fizikal, tetapi peluang untuk merapatkan silaturahim serta mengisi masa lapang selepas bersara,” katanya.
Dengan semangat ini, Johari berharap lebih ramai warga emas menjadikan sukan sebagai gaya hidup aktif untuk mengekalkan kesihatan dan menjalin hubungan mesra dalam komuniti.