Tawau : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot kargo tempatan yang membawa muatan 170 kotak lobak merah seberat 1,190 kilogram tanpa pengisytiharaan dengan nilai muatan RM3,400 pada jam 11.10 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam operasi yang dijalankan pihaknya berjaya menahan sebuah bot kargo yang bergerak laju keluar dari perairan Batu 3,Tawau menuju ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia.
Katanya, pemeriksaan ke atas bot yang ditahan di kedudukan 0.8 batu nautika utara Sungai Melayu itu mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun bertindak selaku juragan bot.
“Pemeriksaan dokumentasi seterusnya mendapati juragan telah gagal mengemukakan dokumen pengisytiharaan kastam berkaitan barangan yang dibawa dan tiada daftar nama di dalam lesen bot.
“Juragan, bot serta muatan tersebut seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah(JPDS)2002.
“Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM46,000,” katanya dalam kenyataan di sini.
Shahrizan berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan berlakunya cubaan penyeludupan barangan tersebut ke negara jiran bagi pasaran luar.
Katanta, siasatan juga akan dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi yang digunakan oleh pengusaha barangan runcit bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Penguatkuasaaan akan terus diperkasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau.
“Maritim Malaysia memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan. Aset-aset ronda akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi,” katanya.
Tambahnya, sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA