HomeUtamaNOS, BGESB jalin kerjasama strategik, perkasa industri minyak & gas di Sabah

NOS, BGESB jalin kerjasama strategik, perkasa industri minyak & gas di Sabah

Read Time:1 Minute, 53 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Nawie Oilfield Services (NOS) Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan tempatan Sabah dalam sektor minyak dan gas, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) strategik dengan Bumitech Global Energy (BGESB), pakar dalam Perkhidmatan Ujian Tanpa Musnah (NDT).

Majlis menandatangani MOU ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas NOS, Masnahwi Nawe, bersama Pengarah Urusan BGESB, Syazly Shah Kamarudin.

Upacara tersebut disaksikan oleh Penasihat Korporat NOS, Datuk George BH, dan Pengarah Eksekutif BGESB, Syahruz Hafiz Kamarudin, di ibu pejabat NOS di Lintas Jaya Uptownship di sini pada Rabu (8 Jan).

Kerjasama strategik ini bertujuan untuk merasmikan kolaborasi antara NOS dan BGESB bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan di negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, terutamanya dalam sektor minyak dan gas.

Perkhidmatan ini turut meliputi sektor lain seperti loji janakuasa, pertahanan dan maritim, terminal pelabuhan, air, makanan, semikonduktor, dan industri am.

Kerjasama ini juga akan merangkumi operasi NOS yang sedia ada di Indonesia serta peluang perniagaan masa hadapan di negara-negara Asia Tenggara.

Melalui perkongsian ini, kedua-dua pihak akan memanfaatkan kepakaran dan sumber yang digabungkan untuk meningkatkan kecekapan operasi, keselamatan, dan inovasi dalam Perkhidmatan Bersepadu.

Antara elemen penting dalam kerjasama ini termasuk perkongsian teknologi dan usaha sama dalam penyediaan perkhidmatan untuk pasaran minyak dan gas Sabah, termasuk sektor huluan dan hiliran.

Selain itu, MOU ini dijangka membawa teknologi baharu dalam perkhidmatan NDT yang mampu meningkatkan tahap keselamatan dan keberkesanan operasi.

Ia juga meningkatkan pembangunan modal insan dengan menyediakan latihan kepada bakat tempatan melalui kerjasama dengan institusi pendidikan seperti Kolej Vokasional, Giat Mara, dan Politeknik.

Ketua Pegawai Eksekutif NOS, Masnahwi berkata, MOU ini merupakan langkah penting ke arah melahirkan individu yang berkemahiran tinggi di Sabah.

“Saya yakin kolaborasi ini akan memberikan impak besar kepada pembangunan negeri kita dengan membuka peluang untuk bakat tempatan cemerlang dan menyumbang kepada Sabah dengan penuh dedikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan BGESB, Shazly Shah, berkata, MOU ini akan menjadi rangka kerja untuk pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti dalam sektor minyak dan gas Sabah.

“Kami komited untuk berkongsi kepakaran NDT kami dan menyediakan peluang latihan bagi memperkasakan profesional tempatan serta memajukan industri,” ujar beliau.

Majlis ini turut dihadiri oleh wakil Sabah Oil & Gas Service Council (SOGSC) dan SMJ Energy Sdn Bhd yang diketuai oleh Datuk Harris dan Terry Biusing.

RELATED ARTICLES
Utama

Yes 5G Serlahkan Kreativiti Rakyat Malaysia Melalui Calpis Soda One In...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular