KINABATANGAN: Sembilan pekerja ladang mengalami gejala pening dan muntah-muntah selepas terhidu racun serangga jenis Carbosulfan UN3077 semasa menjalankan aktiviti membaja pokok sawit di Ladang Sentosa Sime Darby, dekat sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.11 petang tadi.
Katanya, terdapat sembilan orang pekerja ladang mengalami gelaja pening dan muntah-muntah selepas terhidu racun serangga jenis Carbosulfan UN3077 semasa menjalankan aktiviti membaja pokok sawit pada jam 9.00 pagi di ladang yang berkeluasan 20 ekar itu.
“Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Kinabatangan oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Menurutnya, status terkini lapan orang mangsa sudah keluar dari Unit Kecemasan Hospital, manakala seorang masih di rawat di dalam wad kerana belum pulih sepenuhnya. Mangsa dalam keadaan stabil.
Beliau turut memaklumkan, pasukan bomba telah mengambil langkah keselamatan dengan menutup kawasan kejadian serta memasang sawar-sawar bagi memastikan tiada ancaman bahaya lain.
“Operasi di kawasan tersebut berjaya dikawal pada jam 5:30 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 6:40 petang,” ujarnya.
Sehubungan dengan itu, beliau turut menasihatkan pemilik ladang agar memastikan pekerja menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang sesuai semasa melakukan kerja-kerja meracun serangga.