Kota Kinabalu : Kerajaan khususnya Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diminta untuk segera memberi perhatian kepada pembangunan fasiliti sekolah terutama di kawasan pulau dan atas air di negeri ini.
Focal Person Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Mohd Arif Tun Sakaran berkata, ia adalah bagi memastikan keselesaan kepada murid dan guru yang mengikut sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) setiap hari.
“Saya meminta agar pihak Kerajaan dapat memberi perhatian segera termasuk menyalurkan peruntukan kepada sekolah-sekolah terutama di kawasan pulau atau atas air.
“Sudah tentu ini akan dapat memberi keselesaan kepada anak-anak dan guru untuk mengikut sesi PdP setiap hari selain keselamatan mereka juga berada pada tahap terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Graduasi Pra Sekolah dan Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya di sini semalam.
Arif berkata, fasiliti yang lebih selesa akan memastikan kemenjadian para pelajar akan lebih baik terutama ketika berada di sekolah.
“Saya difahamkan SK Pulau Gaya khususnya akan mendapat bangunan baru dan mungkin ia akan lebih selesa kepada pelajar. Tapi yang sedia ada ini kita difahamkan memang sekolah-sekolah di mana-mana saja banyak mengalami kekurangan fasiliti itu.
“Jadi ini perlu untuk pihak JPN mengambil perhatian supaya kemenjadian pelajar itu lebih baik selain mereka selesa bila berada di sekolah nanti. Kita tahu di sekolah ini terutama di pulau banyak kejadian jambatan runtuh.
“Jadi harap kepada pemimpin-pemimpin dapat memberi perhatian kepada jambatan-jambatan yang berada di Pulau Gaya ini. Keselamatan ini bukan hanya kepada warga sekolah tetapi kepada penduduk juga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga meminta agar Kerajaan memberi perhatian kepada pembinaan Klinik Kesihatan di kawasan Pulau Gaya.
Ini kerana katanya, kawasan berkenaan belum mempunyai kemudahan klinik yang menyukarkan penduduk untuk mendapat rawatan dengan lebih cepat.
“Saya lihat kemudahan klinik ini sangat perlu. Sebab jika dilihat kejadian-kejadian melibatkan penduduk atau pelajar yang mahu mendapat rawatan, mereka terpaksa ke pusat bandar untuk mendapatkan rawatan,” katanya. – SABAH MEDIA