TAWAU: Kira-kira 60 rumah atas air di Kampung Sri Aman, Batu 3 Jalan Apas di sini telah musnah musnah dijilat api awal pagi tadi.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 7:46 pagi itu menyebabkan tiga mangsa mengalami sesak nafas.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7:46 pagi dan pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian.
“Komander Operasi melaporkan kebakaran melibatkan rumah atas air jenis tidak kekal berkeluasan dua ekar dan anggaran 60 buah rumah musnah terbakar 100 peratus.
“Kerja-kerja pemadaman api menggunakan sumber air diperolehi dari jentera bomba dan pili Bomba,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, tiga mangsa yang terlibat iaitu seorang lelaki berusia 49 tahun dan dua perempuan masing-masing berusia 49 tahun dan 14 tahun.
“Ketiga-tiga mangsa mengalami sesak nafas dan menerima rawatan awal di lokasi oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan EMRS,” jelasnya.
Seramai 55 anggota daripada BBP Tawau, BBP Kunak, dan Bomba Komuniti Titingan terlibat dalam operasi ini, selain bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9:20 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 11:20 pagi.