Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) kembali dengan Ramadan Buffet yang lebih istimewa untuk tahun 2025, menampilkan lebih 850 hidangan berasaskan masakan tempatan, antarabangsa, dan menu diraja.
Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Rosmahwati Lasuki berkata, buffet kali ini dirancang sebagai penghormatan kepada pelanggan setia sepanjang empat tahun lalu sambil menarik perhatian pelancong antarabangsa.
“Syukur Alhamdulillah, tahun ini kami akan menyediakan sesuatu yang sangat istimewa, khususnya untuk rakyat Sabah dan pelancong dari luar negara.
“Fokus utama kami adalah memperkenalkan masakan antarabangsa dan diraja seperti hidangan istana dari Pahang dan Perlis, serta resepi tradisional yang diwarisi turun-temurun. Ramadan Buffet ini adalah platform untuk menyatukan komuniti dalam suasana penuh kemeriahan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas ‘food review’ Ramadan Buffet di SICC pada Jumaat.
Selepas kejayaan mencatat rekod Asian Book of Records tahun lalu dengan menyediakan 850 jenis hidangan, SICC komited untuk mengekalkan jumlah ini dengan menambah variasi baharu.
Menurut Rosmahwati, Ramadan Buffet akan bermula pada 1 Mac 2024, selepas SICC menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa.
“Kami akan memastikan semua pelanggan, termasuk pelancong antarabangsa, dapat menikmati pengalaman menarik berbuka puasa yang berbeza,” tambah beliau.
Sementara itu, Pengarah Operasi F&B, Chef Muhammad Firdaus Muhammad Izhar yanh juga penerima Gourmet World Chef Master Award, mengetuai penyediaan menu Ramadan Buffet SICC, menekankan bahawa tahun ini banyak hidangan autentik akan diperkenalkan, termasuk menu diraja seperti Harissa Daging, Soto Betawi asli dengan keropok belinjo, dan makanan tradisional Filipina seperti Sinigang dan Adobo.
“Ramadan kali ini kami ketengahkan banyak hidangan unik dari seluruh negeri di Malaysia, termasuk Sabah, Sarawak, dan Semenanjung, serta masakan antarabangsa. Misalnya, kami menyediakan Grünsauce, salad kentang terkenal dari Jerman, yang saya pelajari secara langsung daripada suri rumah di Frankfurt,” katanya.
Beliau berkata, ramuan tempatan seperti tuhau digunakan untuk memberikan sentuhan khas Sabah kepada beberapa hidangan tradisional Semenanjung.
“Gabungan rasa tempatan dan antarabangsa adalah keistimewaan Ramadan Buffet tahun ini,” tambahnya.
Dalam pada itu Rosmahwati menjelaskan Ramadan Buffet di SICC bukan sekadar pengalaman gastronomi, tetapi juga tempat untuk merapatkan hubungan komuniti.
“Banyak pelanggan datang sebagai individu, tetapi kami menggabungkan mereka di meja kumpulan. Ini membolehkan mereka berkenalan dan mewujudkan suasana harmoni. Keunikan ini menjadikan SICC lokasi pilihan bagi penduduk Sabah dan pelawat dari Semenanjung.
“Kami mahu memastikan buffet ini mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, tanpa menjejaskan kualiti dan keunikan pengalaman berbuka puasa di sini,” kata Rosmahwati.
Selaras dengan komitmen terhadap kelestarian, SICC akan meneruskan inisiatif ‘zero waste’ seperti tahun-tahun sebelumnya.
Justeru Rosmahwati berkata, makanan yang tidak habis akan disumbangkan kepada golongan yang memerlukan, termasuk anak-anak yatim, dan sebahagian daripadanya akan dihidangkan semasa sesi sahur.
“SICC menawarkan harga promosi RM110 sehingga akhir Januari 2025. Mulai Februari, harga akan meningkat kepada RM138,” tambah beliau.