Kota Kinabalu : Seramai 58 mangsa dari 14 buah keluarga yang terjejas banjir di Kampung Beliajung Kota Marudu terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka dinaiki air.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan telah menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 6.15 malam.
“Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu bertindak memindahkan mangsa menggunakan bot (NADMA) ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sekolah Kebangsaan Teritipan.
“Seramai 58 orang mangsa terdiri dari 14 keluarga dilaporkan terperangkap dalam rumah disebabkan banjir,” menurut kenyataan itu di sini malam ini.
Dari jumlah mangsa terlibat, seramai 17 orang adalah lelaki; 25 wanita; lima kanak-kanak lelaki; sembilan kanak-kanak perempuan dan masing-masint satu warga emas lelaki dan perempuan.
“Setelah memastikan keadaan selamat dan tiada bahaya lain yang wujud operasi ditamatkan. Semua mangsa terlibat dihantar semula sebaik air surut kira-kira jam 9.30 malam tadi,” menurut kenyataan itu lagi. – SABAH MEDIA / FOTO JBPM