Kota Kinabalu : Golongan warga emas kategori B40 yang mengalami masalah penglihatan menjadi antara 4,000 penerima kaca mata secara percuma menerusi program kebajikan yang akan dilaksanakan Robert.T 1994 Optical yang akan dilaksanakan bermula pertengahan tahun ini.
Pengarah Robert.T 1994 Optical Tang Guo Sun berkata, selain warga emas, pihaknya juga akan turut membantu para pelajar khususnya di negeri ini yang memerlukan kaca mata agar dapat menumpukan sesi pembelajaran dengan lebih baik.
“Pada tahun lalu, kita telah menyalurkan beberapa sumbangan kebajikan termasuk menyalurkan sumbangan kewangan kepada Persatuan Pengurusan Pusat Jagaan Orang Kurang Upaya (OKU) Leshan Kota Kinabalu.
“Justeru pada tahun ini, kita akan meneruskan inisiatif membantu mereka yang memerlukan bantuan kaca mata kepada warga emas B40; golongan dewasa yang bekerja tetapi tidak mampu serta individu dari kawasan luar bandar dan pedalaman yang kurang mendapat akses perkhidmatan optic,” katanya dalam kenyataan di sini.
Guo Sun berkata, dipihak sekolah, pihaknya akan turut menumpukan kepada pelajar disemua peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di negeri ini.
Selain itu katanya, pihaknya juga akan turut menjalin kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).
“Kami sedang menguruskan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan setakat ini kita telah selesai mengurus untuk Jabatan Pendidikan negeri Sarawak.
“Sebelum ini, kami telah melaksanakan program di Cyberjaya dan aktiviti amal di SJK-SJK di Kota Kinabalu. Pada tahun ini kami merancang untuk memperluaskan usaha ini ke sekolah-sekolah SK dan SMK di kawasan lain bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar,” katanya.
Beliau turut berharap agar usaha yang dilaksanakan itu akan dapat memberi manfaat besar kepada komuniti terutamanya yang kurang berkemampuan. – SABAH MEDIA