LONDON, 15 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan Sir Keir Starmer di sini pada Rabu.
Anwar, yang tiba di sini pada Selasa bagi lawatan kerja lima hari ke United Kingdom (UK), disambut oleh Starmer di pejabat Perdana Menteri UK itu di No 10, Downing Street pada 1 tengah hari (9 malam waktu Malaysia).
Anwar dan Starmer kemudian mengetuai delegasi masing-masing pada mesyuarat dua hala, memberi tumpuan kepada mengukuhkan hubungan yang lama terjalin antara dua negara.
Perdana Menteri diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara Datuk Zakri Jaafar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan kemudian akan menghadiri majlis pelancaran produk oleh YTL Group UK.
UK merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia di Eropah dengan jumlah perdagangan kedua-dua negara ialah RM15.30 bilion (US$3.34 bilion) setakat Nov 2024.
— BERNAMA