Kota Kinabalu : Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK), Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghasilkan modul Pembelajaran dan Pemudacaraan (PdPC) Sains Awal yang berkonsepkan Agromakanan Edu-Pelancongan.
Pensyarah Program PAKK, Dr. Nur Suhaidah Sukor berkata, modul tersebut direka untuk menggalakkan kanak-kanak prasekolah meneroka, belajar dan memahami konsep sains awal melalui aktiviti berinteraktif dan menyeronokkan.
Katanya, dalam usaha untuk memperkaya pengalaman pembelajaran kanak-kanak, program tersebut juga mengintegrasikan unsur-unsur pembelajaran praktikal dengan suasana persekitaran yang sebenar sambil memupuk minat mereka terhadap bidang ini.
“Matlamat penghasilan modul ini adalah bagi menyokong SDG-2 iaitu mencapai keselamatan makanan dan menggalakkan pertanian mampan serta SDG-4 iaitu pembangunan awal kanak-kanak yang berkualiti.
“Inisiatif ini juga bertujuan memberikan pengalaman pembelajaran kepada para pelajar PAKK UMS untuk melaksanakan PdPC Sains Awal di lokasi tarikan pelancong, seperti di Muzium Akuarium UMS dan Kundasang Aquafarm.
“Kami percaya bahawa pembelajaran secara hands-on adalah cara terbaik untuk kanak-kanak memahami konsep sains awal dengan lebih baik. Melalui modul ini, kami berharap dapat menanamkan sifat ingin tahu dan semangat eksplorasi dalam diri mereka,” katanya.
Pengarah Program, Sumiraa Amir berkata modul yang dihasilkan memberi peluang kepada para pelajar PAKK UMS untuk mengaplikasi pengetahuan teoretikal pengajaran dalam situasi sebenar.
“Dengan melaksanakan modul PdPC Sains Awal ini, kami dapat menfaatkan suasana pembelajaran sebenar untuk menarik minat murid-murid prasekolah terhadap tunjang Sains Awal. Ini adalah pengalaman pembelajaran yang tidak ternilai untuk kami.
“Antara aktiviti berkonsepkan agromakanan dan edu-pelancongan yang dijalankan adalah pengenalan dan ciri-ciri haiwan akuatik, penjagaan kebersihan laut, pemeliharaan habitat haiwan akuatik, penyemaian biji benih serta pengenalan teknik hidroponik dan akuaponik,” jelasnya.
Sementara itu, Dekan FPPS, Profesor Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh berkata pihaknya menyokong usaha yang dilakukan oleh Dr. Nur Suhaidah dan berharap agar program tersebut dapat memperkasa Program Pendidikan Awal Kanak-kanak di UMS.
“Dengan memanfaatkan sumber semula jadi dan persekitaran yang ada di Sabah, FPPS berupaya menyediakan pengalaman pembelajaran yang unik dan relevan kepada pelajar PAKK UMS. Ini juga sejajar dengan visi FPPS untuk mempromosikan pembelajaran berasaskan pengalaman.
“Program ini diharapkan dapat menjadi platform bagi PAKK UMS untuk membina hubungan industri agar dapat mewujudkan pengalaman pembelajaran sebenar dan seterusnya mengalakkan pewujudan sudut pendidikan awal di lokasi tarikan pelancong.
“Dengan kerjasama antara institusi pendidikan dan industri, PAKK UMS terus komited untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh dan bermakna bagi kanak-kanak,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO UMS