HomeUtamaDBKK kembali laksana kadar asal fi lesen hotel

DBKK kembali laksana kadar asal fi lesen hotel

Read Time:2 Minute, 20 Second

Kota Kinabalu : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kembali mengenakan kadar asal fi lesen di bawah Undang-undang Kecil (Hotel & Rumah Lojing) Bandaraya Kota Kinabalu, 1966 berkuatkuasa awal bulan ini.

DBKK dalam satu kenyataan berkata, pengiraan fi lesen hotel dan rumah lojing adalah berasaskan kepada formula yang dinyatakan dalam UUK (Hotel & Rumah Lojing) Bandaraya Kota Kinabalu, 1966 dengan mengambil kira kategori kelas hotel dan kadar penghunian (occupancy rate) sesuatu hotel tersebut.

“Fi sebenar yang dikenakan untuk setiap bilik hotel yang dihuni adalah RM4.65 sebilik sehari untuk Kelas 1, RM2.65 sebilik sehari untuk Kelas 2 dan  RM1.30 sebilik/sehari untuk Kelas 3. Sekiranya bilik tersebut tidak dihuni, tiada bayaran fi yang akan dikenakan.

“DBKK perlu menguatkuasakan mana-mana perundangan atau peraturan sebagaimana yang telah termaktub dalam undang-undang yang diguna pakai di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu.

“Ini termasuklah membuat kutipan fi lesen. Hasil daripada kutipan fi lesen yang diperolehi akan digunakan untuk menampung kos penyampaian pelbagai perkhidmatan di sekitar kawasan bandaraya, sekali gus memastikan Bandaraya Kota Kinabalu terus menjadi tarikan kepada lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

DBKK berkata, bayaran fi lesen hotel ini merupakan salah satu dari kos operasi perniagaan hotel dan boleh diambil kira dalam proses pengisytiharan penyata cukai pendapatan tahunan para pengusaha hotel.

Tambah kenyataan itu, garis panduan permohonan dan pembaharuan lesen hotel dewan Bandaraya Kota Kinabalu telah diwujudkan bagi menerangkan secara terperinci berkenaan syarat-syarat permohonan, dokumen yang diperlukan, kaedah kiraan dan pelaksanaan fi lesen hotel untuk kemudahan rujukan pengusaha hotel.

“Selain itu, DBKK juga telah mewujudkan sistem pengisian borang penghunian (occupancy form) di dalam web DBKK eServices untuk memudahkan pihak pengusaha hotel membuat kiraan dan pembayaran secara dalam talian,” tambah kenyataan itu di sini.

Terdahulu, sebelum kadar fi lesen di bawah UUK (Hotel & Rumah Lojing) Bandaraya Kota Kinabalu, 1966 dikuatkuasakan semula, DBKK telah mengadakan dua sesi libat urus yang dipengerusikan Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah pada 01 Oktober dan 29 Oktober 2024.

Penganjuran sesi libat urus bersama para pengusaha industri perhotelan dan rumah lojing ini menjadi platform untuk menerangkan mekanisma pelaksanaan UUK (Hotel & Rumah Lojing) Bandaraya Kota Kinabalu, 1966 selain mendengar maklum balas daripada para pemain industri.

Berkenaan dengan isu Short Term Rental Accommodation (STRA) yang diutarakan oleh pihak persatuan perhotelan, DBKK telah mengambil langkah dengan mewujudkan garis panduan khusus STRA Dewan Bandaraya Kota Kinabalu untuk mengawal selia aktiviti ini dan telah dikuatkuasakan mulai 02 Januari 2025, yang mana juga adalah tertakluk kepada UUK (Hotel & Rumah Lojing) Bandaraya Kota Kinabalu, 1966.

Pihak DBKK berterima kasih kepada para pengusaha hotel yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka.

Setakat 15 Januari lalu, lebih dari 50 peratus pengusaha hotel iaitu sebanyak 99 pengusaha hotel telah menjelaskan bayaran fi lesen hotel & rumah lojing untuk bulan Januari 2025. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tanah Runtuh di Kundasang: Rumah Inap Rosak Teruk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular