Kuala Lumpur : Perjanjian gencatan senjata di Gaza yang dijadualkan berkuat kuasa Ahad ini di sifatkan sebagai tindakan penting yang memberikan kelegaan amat diperlukan kepada rakyat Gaza.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyambut baik pengumuman itu berkata, rakyat Gaza sebelum ini telah menanggung penderitaan yang amat besar.
Beliau turut mengiktiraf usaha yang dilakukan oleh Mesir, Qatar, dan Amerika Syarikat dalam menengahi perjanjian tersebut.
Perdana Menteri turut memuji peranan Presiden Amerika Syarikat yang baru dipilih, Donald Trump, dalam merealisasikan rundingan itu.
“Komuniti antarabangsa mesti memastikan perjanjian ini dipatuhi sepenuhnya, sekali gus membuka ruang untuk perbincangan mengenai fasa-fasa seterusnya yang akan membawa kepada ketenangan yang berkekalan dan usaha pembinaan semula Gaza,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam pada itu Anwar berkata, beliau akan menghubungi Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, untuk mempercepatkan pelaksanaan pelan pembinaan semula Palestin yang telah dipersetujui semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Jepun ke Malaysia baru-baru ini.
Beliau menekankan bahawa kerjasama dan sokongan daripada rakan-rakan Asia Timur akan menjadi elemen penting dalam memastikan pembinaan semula Gaza berjalan dengan cepat dan berkesan.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa kehilangan lebih daripada 46,700 nyawa rakyat Palestin serta pemindahan lebih dua juta orang tidak boleh dilupakan.
“Keadilan dan akauntabiliti atas tindakan yang diambil semasa konflik ini adalah keutamaan utama,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri menyatakan bahawa gencatan senjata ini mesti menjadi langkah awal ke arah mencapai matlamat yang telah lama tertangguh, iaitu menubuhkan sebuah negara Palestin yang berdaya maju, berdaulat, dan merdeka.
“Keamanan yang adil dan berkekalan hanya boleh dicapai dengan menangani punca sebenar konflik ini,” tambah beliau.- SABAH MEDIA