HomeUtamaSESB Pantau Menara Talian Penghantaran Di Kawasan Berbukit

SESB Pantau Menara Talian Penghantaran Di Kawasan Berbukit

Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berada dalam keadaan siap siaga dan bersedia pada musim cuaca hujan lebat kebelakangan ini bagi memastikan kelangsungan bekalan elektrik atau mengurangkan impak gangguan sekiranya ia berlaku kepada pengguna.

Sejak beberapa minggu lalu, SESB telah melaksanakan pemantauan dari udara ke atas semua menara talian penghantaran terutama yang dibina di kawasan berbukit.

“Pemantauan ke atas menara talian penghantaran ini dilakukan untuk membolehkan penilaian awal dibuat bagi memastikan keadaan menara adalah selamat agar sebarang tindakan pencegahan awal dapat diambil terutama di lokasi yang ada kejadian tanah runtuh berikutan cuaca hujan yang melanda Pantai Barat Negeri Sabah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid dalam satu kenyataan media pada Selasa.

“SESB telah mengenalpasti beberapa lokasi menara talian penghantaran yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi dan tindakan serta merta telah dilaksanakan dengan memasang kanvas dan membina longkang untuk aliran air serta lain-lain langkah mitigasi agar struktur cerun dapat dikawal sebaiknya,” katanya.

Beliau turut mengulas berkenaan dengan kestabilan kedudukan menara talian penghantaran di Kampung Maang Penampang yang tular di media sosial hari ini yang mana menurut beliau kerja-kerja pemantauan dan mitigasi awal telah dilakukan oleh pasukan SESB yang telah menilai dengan lebih dekat keadaan sekitar menara tersebut.

“Kerja-kerja pembaikan cerun di Kawasan menara talian penghantaran ini akan terus dilaksanakan berdasarkan penilaian risiko kami,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nasser juga menjelaskan bahawa SESB akan sentiasa bersedia bagi menghadapi kemungkinan banjir yang akan memberi kesan kepada pepasangan elektrik SESB, termasuk menggerakkan set janakuasa bergerak ke lokasi terjejas pada bila-bila masa diperlukan.

Menurut beliau, persiapan rapi sudah dilakukan di setiap zon dan daerah dengan mengerahkan pasukan teknikal bersiap sedia 24 jam bagi membaiki sebarang kerosakan.

“SESB juga akan membuka bilik gerakan untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini mengenai bekalan elektrik,” katanya lagi.

Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir boleh menghubungi SESB di talian 15454, 088-515000, Whatsapp 019- 852 5427 atau facebook SESB Careline bagi mendapatkan bantuan pemulihan bekalan atau berkaitan aspek keselamatan elektrik.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air selain tidak menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembab bagi mengelak renjatan elektrik.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular