Kota Kinabalu : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.
Pengerusi SPR Malaysia, Datuk Seri Ramlan Harun berkata segala persiapan sudah dilakukan sebaiknya untuk memastikan kelancaran proses pilihan raya itu kelak.
“Persiapan SPR ke arah pelaksanaan Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan tamat tempohnya pada November ini, SPR pada dasarnya telahpun bersiap siaga. Malah, semua jentera di peringkat akar umbi telahpun bersedia untuk melaksanakan pilihan raya pada bila-bila masa.

“Tun Musa turut menasihati agar SPR dapat memastikan proses pilihan raya dapat dilaksanakan dengan lancar bagi memastikan keamanan dan kestabilan politik di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini semalam.
Dalam kunjungan tersebut Ramlan turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Tun Musa atas pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu.
Antara yang hadir dalam kunjungan tersebut ialah Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak dan Pengarah Pejabat Pilihan Raya Sabah Rohiman Rahia.