HomeUtamaHari Pengasas Pengakap Peringkat Daerah Tawau, Aktiviti Pupuk Jati Diri Pelajar

Hari Pengasas Pengakap Peringkat Daerah Tawau, Aktiviti Pupuk Jati Diri Pelajar

Read Time:1 Minute, 21 Second

TAWAU: Sambutan Hari Pengasas Pengakap Peringkat Daerah Tawau walaupun sederhana namun berlangsung meriah dengan kehadiran hampir 1,000 peserta, terdiri daripada ahli dan pemimpin pengakap serta ibu bapa.

Majlis yang diadakan di Dewan Masyarakat Tawau pada 22 Februari lalu bertujuan memperingati kelahiran pengasas pergerakan pengakap, Robert Baden-Powell. Pelbagai aktiviti dianjurkan bagi menghargai jasa beliau dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, beretika dan berkemahiran.

Antara aktiviti yang menarik perhatian ialah Pertandingan Tarian Kebudayaan, Pahlawanku, Projek Perintis Pengakap, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Kuiz serta Penyampaian Anugerah Pemimpin dan Pengakap Kelana Cemerlang.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Tawau, Matnoor Sima, yang diwakili oleh Penolong Pegawai Unit Kemanusiaan Pejabat Pendidikan Daerah Tawau, Sandy Kahar Kaharudin.

Dalam ucapannya, beliau memuji usaha Pengakap Tawau dalam menjayakan program ini yang memberi manfaat besar kepada ahli dan pemimpin pengakap.

Menurutnya, aktiviti sebegini bukan sahaja melatih kepimpinan dan kesukarelawanan, malah membantu pelajar mengimbangi pembelajaran akademik dengan aktiviti luar bilik darjah.

Selain itu, penglibatan dalam pengakap juga membuka peluang kepada pelajar untuk memperluaskan jaringan hingga ke peringkat antarabangsa.

Turut hadir, Pesuruhjaya Pengakap Zon 1 Tawau, Arbin Setta; Pesuruhjaya Pengakap Daerah Tawau, Lee Chee Kiong; Pesuruhjaya Pengakap Daerah Balung, Muliadi Mustapa serta Pesuruhjaya Pengakap Daerah Merotai, Rusli Nambi.

Dalam majlis tersebut, Sekolah Kebangsaan Ranggu Tawau dinobatkan sebagai Kontinjen Teramai bagi kategori sekolah rendah, manakala SMK Titingan Tawau meraih anugerah yang sama bagi kategori sekolah menengah. Sementara itu, Pasukan Pengakap Kelana Laut B Tawau menerima pengiktirafan bagi kategori Pengakap Kelana.

Selain itu, seramai sembilan guru pemimpin pengakap dan tiga Pengakap Kelana turut menerima anugerah Pemimpin Pengakap Cemerlang 2024 atas sumbangan mereka dalam memperkasakan pergerakan pengakap di daerah ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Program khidmat masyarakat PKK kukuhkan silaturrahim, jati diri pelajar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular