Kota Kinabalu : Situasi banjir di Sabah terus mencatat jumlah peningkatan mangsa terjejas apabila seramai 262 orang melibatkan 81 keluarga di dua daerah di negeri ini dipindahkan ke enam buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 8 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, antara daerah terjejas banjir adalah di Telupid dan Paitan.

Di Telupid, seramai 251 orang mangsa melibatkan 76 keluarga dipindahkan ke empat buah PPS iaitu di Balai Raya Kampung Maau, Dewan Kampung Rancangan Nangoh, Dewan Kampung Bambangan, dan Masjid (Lama) Kampung Gana Jati, Telupid.
Manakala di Paitan, seramai 11 orang mangsa melibatkan lima keluarga turut dipindahkan ke dua PPS iaitu di Rumah Pengerusi Kampung Rancangan Cocos dan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Pamol.
Semalam, daerah Telupid dan Paitan merupakan dua daerah yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir berikutan hujan lebat berterusan dan kenaikan paras air sungai di paras bahaya ketika ini.- SABAH MEDIA / FOTO APM SABAH