Kota Kinabalu : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) terus komited bagi memastikan kesiapsiagaan dan keupayaan pasukan kesihatan dalam menghadapi sebarang kemungkinan di masa hadapan.

Pengarah JKNS Dr Maria Suleiman berkata, ini termasuklah misi penyelamatan seorang wanita hamil yang sedang dalam proses bersalin ketika kejadian tanah runtuh di Jalan Ranau -Tambunan, Kampung Pahu, Tambunan di sini semalam.
Katanya, kejadian tanah runtuh yang berlaku jam 7.26 pagi itu telah menyebabkan jalan utama terputus seterusnya menghalang laluan ambulans dan kenderaan kecemasan ke lokasi kejadian.
Berikutan itu katanya, pasukan kesihatan dari Klinik Desa Tontolob, Liawan, Tambunan yang terletak berhampiran lokasi kejadian, bertindak melakukan penilaian awal dan penstabilan pesakit.

“Pemeriksaan mendapati pesakit berada dalam fasa aktif proses kelahiran dan memerlukan pemindahan segera ke hospital. Susulan itu, pasukan retriever dari Unit Kecemasan dan Trauma, Hospital Daerah Tambunan telah dikerah ke lokasi kejadian dengan sebuah ambulans untuk membantu pemindahan pesakit setelah mendapat panggilan dari ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tambunan.
“Oleh kerana laluan utama terhalang. Pasukan penyelamat mencari alternatif lain bagi memastian, pesakit dapat dipindahkan secepat mungkin.
“Dalam usaha ini, anggota IPD Tambunan, dengan kerjasama penduduk kampung dan orang awam, berjaya membantu memindahkan pesakit merentasi kawasan terjejas menggunakan laluan alternatif yang lebih selamat sebelum dibawa ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Maria berkata, sebaik tiba di Hospital Keningau, pesakit segera dimasukkan ke dewan bedah bagi menjalani pembedahan kecemasan (EMLSCS) kerana mengalami tanda-tanda bayi lemas di dalam kandungan.
Katanya, ibu dan bayi berkenaan berada dalam keadaan stabil selepas pembedahan.
“JKNS ingin merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi ini, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), serta pasukan perubatan dari Hospital Daerah Tambunan, Hospital Keningau, dan Kinik Desa Tontolob.
“Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada orang awam dan penduduk setempat yang membantu dalam proses pemindahan,” katanya.
Menurutnya lagi, kejayaan misi itu menunjukkan kepentingan kerjasama dan kesiapsiagaan pasukan kecemasan dalam menghadapi situasi luar jangka.
“Ia juga mencerminkan kecekapan pasukan dalam mengadaptasi pelan tindak balas bencana untuk memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan tidak terjejas,” katanya.
Semalam, seorang wanita mahu bersalin terpaksa diusung menaiki ambulans selepas berdepan kesukaran ke hospital akibat tanah runtuh di Jalan Ranau-Tambunan.
Wanita berkenaan dihantar ke Hospital Tambunan dengan dibantu kakitangan dari Klinik Desa Tontolob Liwan dan penduduk kampung.
Video wanita berkenaan diusung turut tular di media sosial. – SABAH MEDIA