Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu: Tiga pegawai Taman- Taman Sabah (TTS) dianugerahkan Anugerah Khas Pengarah selepas berjaya menawan ‘The Highest Free Standing Mountain In The World’ iaitu Uhuru Peak Gunung Kilimanjaro Tanzania pada ketinggian 5,895 meter dari aras laut.
Ekspedisi menawan Gunung Kilimanjaro pada 9 September 2024 itu diketuai Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Penswastaan dan Pembangunan Taman Maipol Spait pada usia 54 tahun dan turut disertai Penolong Pengurus Taman Julaimin Kamin dan Penyelamat Gunung Mohd Fazlie Musitin.
Anugerah khas itu disampaikan Pengarah TTS Dr Maklarin Lakim pada Majlis Penghargaan Lembaga Pemegang Amanah TTS di sini pada Jumaat.
Majlis itu dirasmikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Christina Liew dan turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TTS Peter Lintar.
Ketiga-tiga penerima anugerah khas itu telah meletakkan TTS di peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa melalui usaha penubuhan dan pengoperasian Pusat Latihan Pendakian Aras Tinggi Gunung Kinabalu yang pertama di Rantau Asia.
Pusat latihan itu merupakan produk ikonik TTS dan Flagship bagi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS).
Terdahulu, Peter berkata, kejayaan yang di kecapi bukan sahaja mencerminkan usaha individu tetapi juga kerjasama pasukan yang mantap.
“Saya berharap agar semangat kerjasama ini akan terus dipupuk demi mencapai visi kita, iaitu ‘Rakyat Sabah Hidup Harmoni dengan Alam Semula Jadi’.
“Mari kita terus berusaha untuk memelihara keindahan alam semula jadi dan memastikan TTS terus menjadi sumber rujukkan bagi pengurusan kawasan-kawasan terlindung di dalam dan luar negara,”katanya. – SABAH MEDIA