Kota Kinabalu: Jalan menghubungkan Keningau – Kimanis di kilometer 14.300 yang ditutup satu lorong hari ini susulan kejadian cerun runtuh di kawasan berkenaan pada Jumaat dilanjutkan sehingga Rabu ini.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan memaklumkan berikutan itu jalan berkenaan ditutup sementara atas faktor keselamatan pengguna jalan raya yang disebabkan tanah runtuh beserta batu yang masih aktif.
Menurut JKR, pemantauan berterusan dan kerja-kerja pembersihan akan dilaksanakan.
“Setakat ini, penutupan jalan (1 lorong) dilanjutkan sehingga 5 Mac ini. Walau bagaimanapun ia bergantung kepada keadaan di lokasi.
“Sekiranya cuaca masih tidak mengizinkan dan runtuhan masih aktif, penutupan jalan (1 lorong) terpaksa dilanjutkan sehingga keadaan selamat untuk pengguna melalui jalan tersebut,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, jalan tersebut akan ditutup sepenuhnya semula jika hujan lebat berterusan kerana dikhuatiri runtuhan tanah beserta batu akan menjejaskan keselamatan di lokasi tersebut.
Sehubungan dengan itu, orang awam dinasihatkan supaya menggunakan jalan alternatif di Jalan Kota Kinabalu – Keningau – Tenom dan Jalan Sipitang Tenom. – SABAH MEDIA