HomeUtamaOps Bazar Ramadan kekang kegiatan PATI

Ops Bazar Ramadan kekang kegiatan PATI

Read Time:1 Minute, 19 Second

Kota Kinabalu: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah terus komited untuk melaksanakan operasi membanteras kegiatan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) termasuk Ops Bazar Ramadan sepanjang bulan ini.

Pengarah JIM Sabah Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yusof berkata, operasi yang dilaksanakan itu adalah bagi memastikan tiada PATI berniaga di kawasan tersebut.

“Dari segi operasi bazar, kami memang lakukan setiap hari untuk memastikan tiadanya warga asing tanpa dokumen berniaga di kawasan bazar. 

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yusof

“Jadi yang ini telah pun kami lakukan dan operasi-operasi lain juga seperti Ops Kutip dan Ops Sapu juga kami masih melaksanakan operasi sedemikian. 

“Selain daripada Ops Bazar, kami juga lebih melihat kepada melaksanakan operasi berdasarkan aduan awam. Kami ada menerima aduan-aduan awam mengenai keberadaan PATI, khususnya di kawasan-kawasan yang dianggap sebagai kawasan setinggan.

“Jadi itulah imigresen, memang fokus kepada penguatkuasaan sebenarnya,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini semalam.

Saleha berkata, setakat ini tangkapan telah dilaksanakan dan fokus utama di bulan ramadan adalah melihat kepada kewujudan warga asing tanpa dokumen yang berniaga di bazar.

Katanya, sehingga kini, JIM Sabah telah membuat tangkapan ke atas 1,143 orang, manakala pemindahan ke negara asal pula dijalankan sebanyak 21 kali melibatkan 1,382 orang dan 90 peratus daripadanya merupakan warga Filipina.

Menurutnya, kunjungan hormat tersebut bertujuan untuk memperkenalkan diri, selain memaklumkan prestasi serta fungsi imigresen yang berkaitan dengan Bahagian (7) Akta Imigresen dan keperluan pembinaan Kompleks Imigresen bagi menempatkan keseluruhan bahagian JIM Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Terlepas tali gantung, pemuda syukur dapat pulang beraya bersama keluarga

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular