Kota Kinabalu: Kemenangan tipis Sabah FC ke atas PDRM FC 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Likas semalam berjaya membawa pasukan itu kembali berada di tangga ketiga liga.
Ketua Jurulatih Sabah FC Martin Stano turut mengakui gembira dengan pencapaian dan aksi yang dipamerkan anak buahnya pada perlawanan itu.
Katanya, kedudukan itu akan dijaga sebaik mungkin dalam dua lagi baki perlawanan Liga Super musim ini bagi memastikan sasaran Sabah FC untuk mengekalkan kedudukan di tangga ketiga liga tercapai.
Dalam pada itu, Martin mengakui perlawanan malam tadi bukan mudah setelah kira-kira sebulan anak buahnya tidak bermain dalam perlawanan yang kompetitif bermula sejak Ramadan lalu hingga sambutan Aidilfitri.
Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka berdepan kesukaran untuk mengembalikan rentak permainan, lebih-lebih lagi menerima tekanan daripada pasukan lawan yang dilihat lebih bersedia menyekat aksi tuan rumah.
Bagaimanapun, katanya beliau gembira apabila akhirnya Sang Badak mendapat tiga mata untuk mengembalikan kedudukan Sabah di tangga ketiga liga pada musim ini.
“Ia bukan satu permainan yang mudah terutama selepas Ramadan dan Hari Raya selama sebulan, kita tidak bermain permainan yang kompetitif, jadi agak sukar untuk kita kembali.
“Pada separuh masa pertama, pemain memberikan banyak ruang kepada lawan dan mereka dapat mencipta beberapa peluang, hanya pada babak kedua kita dapat bermain dengan lebih baik.
“Tapi, pada akhirnya, kita perlu rasa gembira kerana mendapat tiga mata di Stadium Likas. Kita satu langkah lebih dekat dengan sasaran kita untuk menjaga kedudukan di tangga ketiga,” katanya..
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Dalam aksi malam tadi, Sabah mencipta jaringan tunggal menerusi tandukan Dominic Tan di hadapan gawang PDRM pada minit ke-42.
Sabah FC akan bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, Sabtu ini. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC